KUCHING: Karnival Bola Sepak 9 Sebelah Terbuka Betong 2025 bermula esok di padang bola sepak Pusat Sukan Riveria, Debak, Betong.
Dua pasukan dari Kumpulan A, iaitu MVS FC dan Loy 69, akan turun untuk aksi pembuka tirai yang dijadual bermula pukul 7.50 pagi.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Saiful Hanizam Suhaini, menegaskan sebanyak 18 perlawanan dijadual berlangsung sepanjang hari esok, bermula seawal pagi dan berlanjutan hingga ke petang.
“Pasukan MVS FC dan Loy 69 akan turun untuk aksi pembuka tirai pagi esok.
“Ia dijangka menjadi perlawanan yang menarik kerana kedua-dua pasukan menyenaraikan pemain handalan masing-masing,” ujar Saiful kepada Arena Suara Sarawak.
Katanya, perlawanan sepanjang hari esok melibatkan pasukan dari tiga kumpulan iaitu A, B dan C.
“Pusingan peringkat suku akhir dan separuh akhir akan berlangsung pagi Ahad.
“Perlawanan akhir pula dijadual berlangsung pukul 2.00 petang,” jelas Saiful.
Sebanyak 27 pasukan mewakili pelbagai kelab handalan akan berentap untuk memburu gelaran juara pada saingan kali ini.
Hadiah lumayan menanti kelompok tiga pasukan terbaik. Juara akan menerima wang tunai RM3,000, selain piala dan pingat.
Naib juara pula akan menerima wang tunai RM2,000 termasuk piala dan pingat. Sementara itu, dua pasukan yang tewas akan menerima wang tunai RM1,000 dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.



