MIRI: Karnival Kebudayaan Taste of Borneo (TOBC) terus memainkan peranan penting dalam mengangkat keunikan warisan pelbagai etnik Borneo apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kategori Most Ethnic Associations in a Parade.
Pengiktirafan menerusi TOBC 4.0 itu sekali gus membuktikan karnival berkenaan sebagai platform utama meraikan kepelbagaian budaya dan memperkukuh perpaduan serantau.
Pengiktirafan itu diumumkan pada majlis perasmian TOBC 4.0 yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Tapak Letak Kereta Boulevard Miri, di sini, malam tadi.
Anugerah berkenaan mengiktiraf penyertaan terbesar pelbagai persatuan etnik dalam perarakan kebudayaan yang menjadi identiti serta tarikan utama karnival tersebut.
Majlis itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dari Sabah, Brunei, Indonesia serta Wilayah Yunnan, China yang mencerminkan kekayaan warisan budaya Borneo di samping memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama antarabangsa.
Selain itu, majlis berkenaan turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) melibatkan persatuan-persatuan etnik serta pemeteraian hubungan bandar persahabatan antara Majlis Bandaraya Miri dengan Kerajaan Rakyat Perbandaran Lijiang, China, sekali gus memperkukuh kerjasama dalam bidang kebudayaan, pelancongan dan hubungan dua hala.


