KUCHING: Persatuan Autistik Kuching (KAA) akan menganjurkan Karnival Makanan Autisme 2025 yang akan berlangsung di Dewan Persatuan Gereja-Gereja bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari pada Ahad (13 Julai 2025).
Pengerusi Penganjur, Connie Yeo berkata, program tersebut bertujuan mengumpul dana dalam usaha menyokong komuniti autisme khususnya bagi pengoperasian KAA saban tahun.
Pada masa sama katanya, program ini disasarkan menjadi kutipan dana terbesar dalam kalendar tahunan KAA di samping menampilkan makanan lazat dan kreatif daripada komuniti golongan autisme.
“Program ini bukan sekadar satu pengumuman penting, malah sebagai perkongsian visi tentang komuniti penyayang dan inklusif di mana kanak-kanak serta dewasa autisme disokong, dihargai dan disanjungi.
“Autism Food Fair bukan hanya tentang makanan lazat atau dana komuniti, ia tentang harapan dan sokongan kita dalam memberikan anak-anak autisme peluang menjalani kehidupan sepanjang hayat,” katanya.
Connie menegaskan, salah satu tujuan utama program adalah untuk mengumpul dana bagi memastikan perkhidmatan pendidikan dan latihan kemahiran hidup di KAA dapat dikekalkan, sekaligus memastikan tiada kanak-kanak autisme ditolak daripada mendapatkan pendidikan berikutan kekurangan kos perkhidmatan pendidikan.
Dedahnya, inisiatif subsidi yuran yang dikenakan oleh KAA terhadap pelatih bukan dilakukan sewenang-wenangnya, di mana pihak pengoperasian terpaksa menanggung defisit sebanyak RM750,000 secara tahunan.
“Tahun ini, sasaran program kita adalah RM350,000 dan kami sedar ia adalah sasaran kritikal, namun ia membolehkan kami mengekalkan pusat kami, menjalankan program demi memastikan pelajar terus berkembang.
“Jadi, kami menyeru semua pihak, sama ada syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan individu untuk bersama-sama dengan kami,” ujarnya.
Setakat ini, katanya, kira-kira 45 gerai telah mendaftar untuk bersama-sama menjayakan program.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan KAA kini mempunyai seramai 180 pelajar manakala kira-kira 70 orang pelajar lagi dalam senarai menunggu untuk dimasukkan.


