KUCHING: Sarawak akan mempunyai projek penyimpanan karbon pertama pada 2028 di Kasawari Oilfield, di luar pesisir Sarawak, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Beliau berkata projek berkenaan merupakan antara usaha Sarawak membangunkan industri penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) yang berpotensi diperluas pada masa depan.
“Sarawak akan mempunyai projek penyimpanan karbon pertama pada 2028 di kawasan laut yang dinamakan Kasawari, iaitu Kasawari Oilfield. Projek ini melibatkan Petronas, dan akan menjadi projek CCUS pertama di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Persidangan Antarabangsa KE-7 Mengenai Kelestarian Global Dan Kejuruteraan Kimia (ICGSCE 2026) bersempena Sidang Kemuncak Antarabangsa Pertama Petroleum dan Tenaga (IPET 2026), di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Hazland berkata CCUS membolehkan karbon yang ditangkap daripada aktiviti perindustrian disimpan jauh di bawah tanah bagi mengurangkan pelepasannya ke atmosfera.
Beliau berkata Sarawak telah menyediakan kerangka perundangan bagi membolehkan industri CCUS dilaksanakan, termasuk melalui pindaan Kanun Tanah Sarawak (Land Code).
“Kalau CCUS, ia melibatkan perundangan tanah, Land Code. Kita sudah luluskan di Dewan Undangan Negeri untuk membolehkan Sarawak menjalankan industri CCUS dan memastikan segala hak penyimpanan karbon adalah milik Sarawak,” katanya lagi.
Beliau berkata ketetapan itu penting bagi memastikan hak Sarawak terhadap tempat penyimpanan karbon di telaga minyak yang terletak di perairannya adalah jelas.
Katanya, syarikat dari luar negara yang menghantar karbon untuk disimpan di Sarawak perlu membayar bayaran penyimpanan kepada kerajaan negeri.
“Apabila kita menyimpan karbon, kita akan mengenakan apa yang kita panggil fi penyimpanan karbon, iaitu bayaran untuk menyimpan karbon tersebut, maknanya menyewa tempatnya.
“Industri, syarikat daripada Jepun, Korea dan sebagainya perlu membayar sewa kepada Kerajaan Sarawak melalui PETROS,” jelasnya
Hazland berkata PETROS berperanan sebagai pengurus sumber bagi aset minyak dan gas Sarawak, termasuk berkaitan kemudahan penyimpanan karbon yang menggunakan telaga minyak yang telah habis digunakan.
Beliau berkata pendekatan itu bukan sahaja membolehkan Sarawak memanfaatkan telaga minyak yang tidak lagi digunakan, malah membuka peluang kepada negeri untuk menjana sumber hasil baharu melalui aktiviti penyimpanan karbon dari luar negara.
Projek Kasawari itu, katanya, akan menjadi projek penyimpanan karbon pertama Sarawak pada 2028 sebelum lebih banyak projek seumpama itu dibangunkan pada masa depan.


