KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas sebanyak 1,200,000 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM1,233,000 dalam satu serbuan di kawasan Demak Laut di sini pada 28 Mei lepas.
Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya, berkata serbuan tersebut dilakukan oleh anggota Unit Operasi Darat Kuching sekitar jam 2.30 petang.
“Hasil pemeriksaan di lokasi, pasukan telah menjumpai sebuah lori dalam keadaan enjin masih hidup dengan muatan penuh tanpa pemandu.
“Pemeriksaan ke atas muatan lori berkenaan menjumpai sejumlah 1,200,000 batang rokok yang disyaki tidak berkastam,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Norizan lagi, semasa pemeriksaan ke atas lori berkenaan, tiada wakil atau pemilik barang berada di tempat kejadian.
Malah, katanya, pasukan juga telah menunggu hampir satu jam namun tiada individu yang tampil mengaku sebagai pemandu lori atau pemilik barang tersebut.
“Jumlah barang yang disita adalah sebanyak 1,200,000 batang rokok dan sebuah lori jenama Ford dengan angaran nilai sebanyak RM405,000 manakala anggaran jumlah duti dan cukai yang terlibat adalah sebanyak RM828,000.
“Jumlah nilai keseluruhan barangan termasuk duti dan cukai adalah sebanyak RM1,233,000,” ujarnya.
Mengulas mengenai modus operandi yang digunakan oleh sindiket terbabit, Norizan berkata mereka menggunakan laluan di kawasan terpencil dan tidak menggunakan jalan utama sebagai laluan pengedaran.
Katanya, ia bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa sebelum diedar ke pasaran sekitar.
“Sehubungan itu, kes kini disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan jika sabit
kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau turut menggesa agar orang ramai memainkan peranan masing-masing untuk membantu memerangi jenayah penyeludupan, khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
Orang ramai juga dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut, katanya.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.


