KUCHING: Pengeluaran hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kampung Bidayuh yang selesai mendokumentasikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) perlu dipercepat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus.
Kira-kira 60 peratus kampung Bidayuh berjaya mendokumentasikan tanah bagi lot tradisi dan pertanian menerusi inisiatif dokumentasi tanah NCR yang diterajui Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA).
Katanya, usaha itu masih diteruskan sehingga semua kampung menyelesaikan proses dokumentasi masing-masing.
“Isu pertikaian sempadan dan tuntutan bertindih telah diselesaikan secara baik di peringkat kampung, namun masih terdapat permohonan yang dikemukakan DBNA dan memerlukan perhatian serta tindakan segera,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan pesat di kawasan Bidayuh menerusi peningkatan infrastruktur, jalan ladang, bekalan air luar bandar, kemudahan pelancongan, lampu jalan dan pertanian menunjukkan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 semakin memberi kesan kepada masyarakat luar bandar.
“Jaringan jalan baharu bukan sekadar kemudahan fizikal, malah membuka kawasan pertanian, meningkatkan potensi tanah NCR, memudahkan penghantaran hasil ke pasaran serta meningkatkan akses ke destinasi pelancongan.
“Pembangunan itu digerakkan menerusi Projek Rakyat, Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP) serta agensi pembangunan wilayah, termasuk Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA),” jelasnya.
Beliau turut meminta masalah liputan internet yang lemah di beberapa kawasan Bukit Semuja, termasuk Bedup, Kampung Rasau, Remun, Slabi, Koran Sorak dan Rih, diberi perhatian.
“Walaupun semua 618 menara SMART telah beroperasi dan liputan Internet Sarawak mencapai 94.5 peratus, kawasan berbukit menyebabkan sebahagian rumah masih menerima isyarat lemah.
“Justeru, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi bersama Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dicadangkan melaksanakan penilaian teknikal dalam tempoh tiga bulan,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan projek perintis jalur lebar satelit komuniti di Bukit Semuja berdasarkan pengalaman program Connecting Jepak, selain memasukkan penyelesaian satelit dalam peluasan capaian jalur lebar di kawasan yang sukar dicapai oleh menara telekomunikasi.
“Rakyat tidak menilai kemajuan Internet berdasarkan jumlah menara atau angka liputan, tetapi melalui pengalaman mereka sendiri,” katanya.



