KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun dan agensi negeri berasaskan merit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata, kepelbagaian kaum dan etnik yang menjadi kekuatan Sarawak sewajarnya turut dicerminkan dalam pengambilan pekerja, pembangunan kerjaya serta pelantikan kepimpinan institusi di bawah pengaruh kerajaan.
Menurutnya, masyarakat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik, termasuk Melayu, Iban, Cina, Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu perlu diberi peluang saksama untuk maju berdasarkan kelayakan masing-masing.
“Ini tidak bermakna kita berkompromi terhadap meritokrasi. Merit, kelayakan, kecekapan dan integriti mesti terus menjadi asas.
“Namun, kepelbagaian dan meritokrasi tidak seharusnya dilihat sebagai dua matlamat yang bertentangan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) pada persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau mencadangkan kerangka itu merangkumi jabatan dan agensi perkhidmatan awam Sarawak, badan berkanun, GLC, program pengambilan dan latihan industri untuk belia bandar serta luar bandar, selain latihan profesional dan pembangunan kepimpinan.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya semakan kepelbagaian dilaksanakan secara berkala, bukan untuk mengenakan kuota kaum yang ketat, tetapi bagi mengenal pasti sama ada calon berkelayakan daripada semua komuniti mendapat akses dan peluang sewajarnya.
“Lebih ramai anak Sarawak perlu digalakkan menyertai perkhidmatan awam dan GLC dalam bidang seperti kejuruteraan, kewangan, undang-undang, teknologi maklumat dan komunikasi, perubatan serta pentadbiran.
“Ini kerana ramai profesional muda yang berkelayakan di kawasan bandar mahu berkhidmat di negeri sendiri daripada berhijrah ke luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, Wilfred berkata, Belanjawan Sarawak 2027 yang mengunjurkan hasil RM15.091 bilion dan lebihan RM246 juta perlu dimanfaatkan bagi memastikan pembangunan memberi manfaat kepada masyarakat bandar dan luar bandar.
Beliau menegaskan pembangunan Sarawak perlu memastikan hasil pertumbuhan ekonomi serta peluang pekerjaan dapat dinikmati rakyat daripada semua latar belakang secara inklusif.



