MUKAH: Persiapan gerai komuniti sempena Kaul Mukah rancak dilaksanakan dengan pelibatan aktif penduduk kampung.
Tapak Pesta Kaul kini meriah dengan kehadiran penduduk kampung yang bergotong-royong serta bekerjasama memastikan gerai komuniti menonjolkan keunikan masing-masing berkonsepkan tradisi.

Terdapat kampung yang menggunakan elemen terendak sebagai pintu masuk dan anyaman sebagai hiasan utama.
Tinjauan Suara Sarawak mendapati, sebahagian besar gerai mengetengahkan elemen anyaman sebagai identiti utama, selain menampilkan sentuhan kreatif melalui susunan dan reka bentuk yang dirancang lebih awal.
Menurut Ketua Kampung Teh Munir Din, kerja-kerja persiapan dimulakan kira-kira dua minggu lalu di kampung sebelum dibawa ke tapak pesta untuk pemasangan dan sentuhan akhir.

“Konsep serta reka bentuk gerai ditentukan lebih awal, manakala kerja-kerja anyaman banyak digalas oleh golongan wanita di kampung.
“Ukiran dilakukan oleh penduduk kampung dan golongan belia turut membantu persiapan di gerai kami,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak, hari ini.
Menyentuh keistimewaan gerainya, Munir memberitahu pelbagai makanan kering seperti kuih dan hasil laut akan dijual di Gerai Komuniti Kampung Teh kali ini.
“Dengan adanya jualan ini kelak, ia sedikit banyak dapat menambah pendapatan penduduk kampung,” ujarnya.
Sementara itu, Penghulu Winnie Wena Dominic Lai berkata, persiapan gerai mereka juga dimulakan dua hingga tiga minggu lebih awal dengan memberi tumpuan kepada anyaman menggunakan daun.
Menurutnya, kebanyakan bahan mentah seperti daun perlu dibeli kerana sumber semula jadi kini semakin terhad.

“Daun yang digunakan kebanyakannya dibeli, dengan anggaran kos sekitar RM100 atau lebih bergantung kepada saiz dan jenis daun. Jika daun kecil, perlu ditambah lagi.
“Selepas siap dianyam di kampung, bahan hiasan akan dibawa ke Tapak Pesta Kaul untuk dipasang,” katanya.
Sehubungan itu, keunikan gerai-gerai tahun ini terletak pada kepelbagaian seni terutamanya anyaman dan ukiran.
Bagaimanapun, Gerai Komuniti Jawatankuasa Kampung Tellian Tengah lebih menumpukan kepada anyaman kerana ruang yang terhad.
“Kali ini, kita menyaksikan banyak penyertaan daripada pelbagai kampung berbanding tahun lalu. Ini disebabkan pada tahun lalu, banyak kampung terjejas akibat banjir.

“Syukur, dengan adanya banyak penyertaan gerai komuniti, kita berharap ia mendapat perhatian daripada pengunjung luar.
“Diharapkan Kaul Mukah 2026 berjalan dengan lancar dan semua urusan untuk melaksanakannya dipermudah,” tambahnya.
Pesta Kaul Mukah akan berlangsung bermula 25 April ini hingga 3 Mei depan dengan pelbagai aktiviti menarik yang dirancang.
Bagi Kaul Serahang Kakan, ia akan diadakan pada Sabtu ini (25 April) dan orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkannya.



