MUKAH: Acara ‘Kaul Mukah Run’ (KMR) menjadi pembuka tirai Pesta Kaul Mukah 2025 pada 19 April 2025.
Menurut Setiausaha Persatuan Melanau Mukah (PMM), Mazira Ramli, sebelum ini PMM menganjurkan acara larian untuk jarak lima kilometer (km) sahaja.
“Pada KMR kali ini, terdapat kelainan dengan penambahan dua kategori baharu, iaitu 10km dan 3km ‘Fun Walk’ ,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, acara larian 5km dan 10km masing-masing terbahagi kepada beberapa kategori seperti Lelaki Terbuka (44 tahun ke bawah), Lelaki Senior (45 tahun ke atas), Wanita Terbuka (44 tahun ke bawah), dan Wanita Senior (45 tahun ke atas).
Jelasnya, acara 3km ‘Fun Walk’ pula terbuka kepada semua yang ingin menyertai.
Pendaftaran secara dalam talian bagi KMR telah dibuka dan akan tamat pada 18 Mac 2025.
Pendaftaran dalam talian adalah melalui https://forms.glen9SBqx27c45TXMjS6.
Sehubungan itu, Mazira memberitahu, selain memeriahkan suasana Kaul Mukah 2025, yang akan berlangsung pada 19 hingga 27 April akan datang, objektif penganjuran KMR ini adalah untuk mempromosikan aktiviti larian sekali gus meningkatkan tahap kecergasan masyarakat setempat.
“Selain itu, KMR juga bertujuan mendidik masyarakat setempat untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan penyertaan aktif dalam aktiviti fizikal.
“Di samping itu, setiap penyertaan akan mendapat baju-T larian, pingat dan e-Sijil, serta berpeluang untuk membawa pulang hadiah menarik Cabutan Nombor Bip Bertuah,” jelasnya.
Untuk sebarang maklumat tentang acara ini, orang ramai boleh menghubungi Jacq (01119918491), Fika (0145982047) dan Farid (0138184030).
Untuk makluman, Kaul Seraheng Kakan akan diadakan pada 26 April 2025, disusuli dengan Perasmian Kaul Mukah 2025 pada hari yang sama, manakala Majlis Keman Kaul pula pada 27 April 2025.
Pelbagai aktiviti menarik dan acara Kaul Mukah akan diadakan pada 19 hingga 27 April 2025 di Pantai Kala Dana, Mukah.

