Seorang kenalan pernah meluahkan rasa kesal yang tidak berpenghujung apabila dirinya terjebak dengan pembiayaan peribadi untuk tujuan yang akhirnya diakui tidak penting.
Sebagai seorang pendidik, kehidupannya pada awalnya tampak stabil dan terjamin.
Dengan status masih bujang serta menerima gaji tetap setiap bulan, beliau sepatutnya mampu menikmati kehidupan yang tenang tanpa tekanan kewangan yang melampau.
Namun, satu keputusan yang silap apabila mengambil pembiayaan peribadi dalam jumlah besar telah mengubah haluan hidupnya.
Perkara yang pada awalnya dirasakan sebagai kemudahan akhirnya bertukar menjadi beban yang menghimpit saban hari.
Beliau bercerita setiap bulan beliau terpaksa “mengikat perut” kerana sebahagian besar gajinya diperuntukkan untuk membayar komitmen hutang.
Ada kalanya baki dalam akaunnya hanya tinggal beberapa ringgit sebelum tiba tarikh gaji seterusnya.
Hari-hari dirasakan berat, bukan kerana tugas mendidik anak bangsa, tetapi kerana tekanan memikirkan hutang yang belum selesai.
Setiap pagi beliau bangun dengan harapan masa berlalu lebih pantas agar tempoh pembiayaan itu segera berakhir. Namun hakikatnya, komitmen jangka panjang tersebut tidak mudah dihapuskan begitu sahaja.
Daripada situlah lahir nasihat tulus beliau kepada saya, “Jangan sesekali terjebak dengan pembiayaan untuk perkara yang tidak penting, apatah lagi sekadar memenuhi gaya hidup atau kehendak sementara.
Kisah ini bukanlah kes terpencil. Laporan media pernah menyiarkan statistik yang membimbangkan tentang peningkatan kes mufl is dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya penjawat awam muda.
Data daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendedahkan golongan berusia 30 hingga 40 tahun merupakan kumpulan paling ramai yang menyertai program pengurusan kredit. Perangkaan menunjukkan sebanyak 40.9 peratus, iaitu lebih 100,000 peserta, berada dalam lingkungan umur berkenaan.
Lebih membimbangkan, pembiayaan peribadi dikenal pasti sebagai antara punca utama kemufl isan, malah mencatatkan peningkatan hampir dua kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya. Dalam tempoh lima tahun hingga November 2018, lebih 64,000 individu berusia antara 18 hingga 44 tahun diisytiharkan mufl is.
Angka ini menggambarkan betapa seriusnya isu pengurusan kewangan dalam kalangan generasi muda dan pertengahan umur.
Lebih mengejutkan apabila laporan turut menunjukkan golongan pendidik antara penjawat awam yang mencatatkan jumlah mufl is tertinggi di beberapa negeri.
Realiti ini amat ironik kerana guru sering dianggap sebagai kelompok profesional yang berpendidikan dan berpengetahuan luas. Namun hakikatnya, pendidikan formal tidak semestinya menjamin kebijaksanaan dalam mengurus kewangan peribadi.
Persoalannya, mengapa pembiayaan peribadi menjadi pilihan? Pada asasnya, pembiayaan bukanlah sesuatu yang salah.
Dalam situasi tertentu, ia boleh membantu menyelesaikan masalah mendesak seperti menampung kos perubatan, menyelesaikan hutang lama yang berkadar faedah tinggi atau membiayai pembelian aset yang menjana nilai jangka panjang.
Namun yang sering berlaku ialah pembiayaan diambil untuk memenuhi kehendak, bukan keperluan.
Percutian mewah, majlis perkahwinan yang melampaui kemampuan, pengubahsuaian rumah demi imej, atau sekadar mahu kelihatan setaraf dengan rakan sebaya; semua ini menjadi pendorong utama.
Apabila pembiayaan digunakan untuk tujuan yang tidak produktif, ia tidak mencipta nilai baharu untuk membantu pembayaran balik hutang.
Sebaliknya, ia menambah komitmen bulanan yang berpanjangan. Pada peringkat awal, ansuran mungkin kelihatan kecil dan mampu ditanggung.
Namun apabila digabungkan dengan komitmen lain seperti sewa rumah, ansuran kenderaan, bil utiliti dan perbelanjaan harian, beban itu menjadi semakin berat.
Lebih parah apabila seseorang mengambil pembiayaan baharu untuk menampung hutang lama, sekali gus mewujudkan kitaran hutang yang sukar diputuskan. Isu kemufl isan dalam negara bukanlah masalah baharu.
Setiap tahun, puluhan ribu kes baharu didaftarkan dan angka tersebut menunjukkan trend yang membimbangkan. Pembiayaan peribadi tersenarai antara penyumbang utama kepada statistik ini.
Hal ini menggambarkan rakyat Malaysia masih bergelut dengan disiplin kewangan, perancangan jangka panjang dan keupayaan membezakan antara keperluan dengan kehendak.
Dalam dunia yang serba pantas dan dipenuhi tekanan sosial, keinginan untuk memiliki dan menikmati sesuatu dengan segera sering mengatasi pertimbangan rasional. Akhirnya, isu pokok bukan sekadar pada produk kewangan itu sendiri, tetapi pada sikap kita dalam mengurus kewangan.
Pembiayaan boleh menjadi alat yang membantu jika digunakan dengan bijak dan strategik. Namun, tanpa kawalan diri, ilmu pengurusan kewangan dan kesedaran tentang risiko jangka panjang, ia bertukar menjadi perangkap.
Ketenangan hidup tidak diukur pada kemewahan sementara, tetapi pada kestabilan serta kebebasan daripada tekanan hutang. Kisah kenalan saya wajar dijadikan cerminan agar kita tidak mengulangi kesilapan yang sama kerana dalam soal kewangan, keputusan hari ini menentukan kesejahteraan esok.



