Kawalan lebih ketat di sempadan

KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan tambahan di Kapit bagi pembelian aset untuk digunakan mengawal kawasan sempadan pedalaman Sarawak dan Indonesia semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa.

Sempadan di Kapit yang menghubungkan Long Singut-Indonesia merupakan antara laluan pintu masuk yang terdapat di pedalaman negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah peruntukan tambahan berkenaan pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia kelmarin.

Menurutnya, keselamatan di perbatasan terus dipantau rapi dalam mengekang kemasukan warga asing dari negara jiran ke Sarawak sepanjang tempoh PKP.

“Ia merupakan salah satu agenda dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) selain menubuhkan Jawatankuasa Kecil Keselamatan di bawah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing.

“Kita meningkatkan kawalan di sempadan khususnya di pedalaman termasuk Long Singut kerana bimbang jalan-jalan tikus mungkin menjadi potensi untuk rakyat negara jiran memasuki Sarawak,” katanya.

Tegas Abang Johari, Kerajaan Sarawak kini hanya memerhati sebarang perkembangan wabak Covid-19 di Indonesia yang kini menunjukkan peningkatan.

“Kita terpaksa menjaga diri kita dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19,” ujarnya.

Jumlah kematian akibat Covid-19 di Indonesia terus meningkat kepada 181 orang sejak kematian pertama direkodkan pada 11 Mac lalu.

Jurucakap pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata, sebanyak 11 lagi kematian berlaku dalam tempoh 24 jam pada minggu lalu. Pada 31 Mac lepas, Presiden Indonesia Joko Widodo mengisytiharkan darurat atau kecemasan kesihatan dengan memerintahkan pembatasan sosial berskala besar dilaksanakan dalam semua aspek aktiviti masyarakat bagi melawan pandemik itu.

Jakarta masih menjadi wilayah paling tinggi jumlah kematian iaitu sebanyak 90 kes, diikuti Jawa Barat (25 kes), Jawa Tengah (18), dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Suara Sarawak