Kawasan merah rabies

SERIAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak akan memperketat kawalan sempadan Sarawak-Indonesia supaya anjing dari kawasan luar tidak masuk ke Sarawak dan menyebabkan penularan wabak rabies di negeri ini.

Pengarahnya Dr Adrian Susin Ambud berkata, ini ekoran kawasan sempadan Kalimantan kini sudah diisytihar sebagai kawasan merah rabies.

Menurutnya, antara strategi yang turut dilaksanakan ialah menyuntik semua anjing dengan vaksin antirabies.

“Maka, anjing kita akan selamat kerana kebal dan imun dengan gigitan anjing yang dijangkiti rabies.

“Penangkapan anjing liar tidak bertuan akan dilakukan secara berterusan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dibantu oleh pihak kita,” katanya kepada Suara Sarawak pada Majlis Penyerahan Input Projek Ternakan Bagi Dun Tarat di Dewan Kampung Chupak, semalam.

Dr Adrian berkata, jabatannya juga akan membantu mengambil sampel secara rawak anjing yang ditangkap untuk melihat sejauh mana wabak rabies telah merebak.

Hingga kini ujarnya, sebanyak 586 sampel daripada 1,703 sampel yang diambil didapati positif rabies. Jelasnya lagi, hingga 6 Julai lalu, rabies telah meragut dua nyawa dan secara keseluruhan, sejak 2017 hingga kini, sebanyak 23 kematian direkodkan, walaupun menunjukkan penurunan.

Dua kematian yang berlaku tahun ini ekoran mangsa tidak mendapatkan rawatan segera di hospital, katanya.

“Kami berharap tiada lagi mangsa maut disebabkan rabies. Tahun depan kita tidak mahu lagi ada mangsa yang terkorban.

Malah menjelang 2025, kita mahu Sarawak bebas rabies,” tambahnya.

Dr Adrian memberitahu, tumpuan pemvaksinan semua anjing penting kerana anjing merupakan pembawa utama wabak ini.

“Pemilik kucing dan haiwan peliharaan lain juga digalak membawa haiwan mereka ke klinik untuk disuntik vaksin antirabies,” katanya.

Hingga kini, 64 kawasan di negeri ini diisytihar kawasan wabak rabies termasuk Kuching (7); Sri Aman (5); Sibu (2); Miri (6); Sarikei (5); Kapit (1); Bintulu (4); Samarahan (4); Betong (3); Serian (22) dan Mukah (5),” ujarnya Secara purata, 300 kes gigitan dilaporkan pada setiap bulan dengan 50 peratus kes itu adalah dari anjing bertuan dan dibiarkan bebas berkeliaran.

Suara Sarawak