ARTIKEL

Fazzrudin Abdul Rahman. Foto: Haziq

KCFC tambah petugas keselamatan dan marshal di Stadium Taha Ariffin

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) akan menambah jumlah petugas keselamatan dan marshal di Stadium Taha Ariffin bagi memastikan aspek keselamatan serta pergerakan penonton lebih terkawal menjelang penganjuran perlawanan di peringkat Asia dan ASEAN.

Stadium tuan rumah itu kini mempunyai kapasiti 17,584 tempat duduk selepas pemasangan kerusi penonton bagi memperkukuh persiapan lokasi berkenaan untuk menganjurkan perlawanan di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Eksekutif KCFC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, langkah itu diambil bagi menangani sebarang keadaan tidak diingini, selain memastikan pengalaman baharu mengendalikan perlawanan berstatus antarabangsa dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.

“Kita menjangkakan perkara itu. Jadi, pertama sekali kita akan menambah marshal atau petugas keselamatan bagi memastikan kita tidak berdepan sebarang keadaan yang tidak diingini.

“Kita juga sudah menghantar pasukan keselamatan ke beberapa perlawanan di luar Kuching, termasuk ketika menentang Kelantan dan JDT supaya mereka dapat melihat serta belajar daripada pihak yang lebih berpengalaman dalam mengendalikan perkara seperti ini,” katanya pada sidang media sempena lawatan ke Stadium Taha Ariffin di sini, hari ini.

Menurutnya, pengurusan keselamatan perlawanan di peringkat Asia dan ASEAN merupakan pengalaman baharu bagi KCFC yang masih dalam proses mempelajari keperluan serta cabaran berkaitan.

“Bagi kami, ini perkara baharu dan kami masih belajar. Tidak dinafikan kita akan berdepan beberapa cabaran, tetapi yakinlah kita akan menanganinya dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam aspek penjualan tiket, Fazzrudin berkata, tiket bagi perlawanan di bawah kendalian AFC dan AFF akan dijual secara dalam talian bagi membantu mengawal jumlah penonton serta aliran kemasukan pada hari perlawanan.

Katanya, kapasiti penonton perlu diurus dengan teliti kerana perlawanan antarabangsa turut melibatkan rombongan penaja kejohanan, pasukan pelawat, pegawai serta penyokong.

“Penjualan tiket akan dilakukan secara dalam talian, itu untuk membantu mengawal jumlah penonton pada hari perlawanan.

“Justeru, sistem pengurusan penonton yang diperkenalkan bagi perlawanan AFC dan AFF itu juga akan diterapkan dalam semua perlawanan KCFC selepas ini, termasuk saingan kendalian Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Piala Malaysia, Piala FA dan liga.”

Fazzrudin turut menyeru penyokong supaya memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan petugas, menggunakan laluan masuk yang ditetapkan serta berada di tempat duduk masing-masing bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perlawanan.

“Ini adalah pengalaman baharu bukan sahaja bagi kami tetapi bagi kita semua. Kami mengharapkan kerjasama daripada penyokong, terutama berkaitan laluan masuk, tempat duduk dan semuanya.

“Jika kita menghadapi apa-apa cabaran, yakinlah kita akan bersama-sama cuba menyelesaikannya bagi memastikan kita dapat menggunakan stadium ini sebagai gelanggang sendiri,” katanya.

Beliau berkata, pihak kelab akan turut melaksanakan simulasi bersama media bagi memastikan semua pihak memahami laluan masuk, tempat duduk dan lokasi sidang media serta keperluan lain pada hari perlawanan.

“Ini perkara baharu bagi kami dan saya harap semua pihak dapat bekerjasama supaya semuanya berjalan lancar. Kita sama-sama sedang melalui pengalaman baharu ini,” katanya.

KCFC bakal menentang Tampines Rovers FC pada 7 Oktober dalam saingan Kejohanan Kelab ASEAN Shopee Cup serta berdepan Kitchee SC pada 15 Oktober dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2).

BERITA LAIN

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha