ARTIKEL

Fazzrudin Abdul Rahman. Foto: Haziq Anwar

KCFC tidak sabar beraksi di gelanggang sendiri selepas lebih sebulan di tempat lawan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) tidak sabar kembali beraksi di gelanggang sendiri selepas lebih sebulan mengharungi perlawanan di tempat lawan, dengan barisan pemain, khususnya muka baharu, menantikan peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Pengerusi Eksekutif KCFC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, suasana di Stadium Taha Ariffin ketika perlawanan di laman sendiri menjadi antara faktor yang meningkatkan semangat pemain menjelang aksi antarabangsa pertama di Kuching.

“Seperti yang kita sedia maklum, pasukan sudah berada di tempat lawan selama kira-kira satu setengah bulan. Sekarang semua pemain kita tidak sabar untuk beraksi di halaman sendiri, terutama pemain-pemain baharu.

“Mereka memberitahu saya semangat memang berkobar-kobar untuk beraksi di hadapan penonton kita di Stadium Taha Ariffin dalam suasana begitu meriah,” katanya pada sidang media sempena lawatan ke Stadium Taha Ariffin di sini, hari ini.

Fazzrudin berkata, dari segi persediaan pasukan, beliau yakin ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak telah melakukan persiapan sebaik mungkin berdasarkan prestasi KCFC sepanjang mengharungi perlawanan di tempat lawan.

Menurutnya, hanya kekalahan kepada Phnom Penh Crown FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL Two) yang sedikit mengecewakan, namun secara keseluruhan pasukan telah melalui tempoh kompetitif yang baik.

“Saya faham perasaan pemain selepas berada di tempat lawan selama satu setengah bulan. Tetapi yakinlah, mereka akan membuat kebangkitan dan memang tidak sabar untuk beraksi di Kuching,” katanya.

Mengulas kemasukan pemain baharu dan harapan tinggi penyokong terhadap prestasi pasukan, Fazzrudin berkata, proses menggabungkan pemain baharu dengan tonggak musim lalu sememangnya mengambil masa.

Katanya, jadual padat musim ini turut mendorong kelab membawa masuk lebih ramai pemain baharu bagi memastikan KCFC mempunyai kedalaman skuad yang mencukupi.

“Kami mempunyai pasukan yang baik musim lalu, tetapi memandangkan jadual perlawanan yang begitu padat musim ini, kami terpaksa mengambil ramai pemain baharu.

“Untuk pemain baharu menyesuaikan diri dengan pemain lama, sudah tentu ia mengambil sedikit masa. Tetapi apa yang berlaku sekarang, mereka sudah bermain dengan baik dan saya yakin keserasian antara satu sama lain sudah terjalin.

“Kita akan dapat menyaksikan persembahan yang lebih baik daripada pasukan kali ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fazzrudin berkata, perkhidmatan sokongan dan sesi kaunseling kepada pemain KCFC akan turut diteruskan musim ini sebagai sebahagian daripada usaha membantu mereka mengharungi jadual pertandingan yang padat.

“Pendekatan itu dilaksanakan musim lalu dan akan diteruskan berdasarkan keperluan serta keadaan semasa pasukan dan pemain.

“Bergantung kepada keadaan, kami akan berbincang rapat dengan ketua jurulatih dan melihat masa yang sesuai, bukan hanya untuk satu sesi tetapi beberapa sesi lain bergantung kepada keadaan pasukan dan pemain,” katanya.

KCFC dijadual menentang Sabah FC dalam perlawanan persahabatan di Stadium Taha Ariffin pada 1 Oktober, sebelum menghadapi Tampines Rovers FC pada 7 Oktober dalam saingan Kejohanan Kelab ASEAN Shopee Cup 2026-2027.

BERITA LAIN

Kelibat Ayu Az’zetty curi tumpuan

BINTULU: Berbekalkan latihan selama sebulan, pendatang baharu muaythai, Ayu Az’zetty Allyya Azmi, mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan menerusi tumbukan teknikal (TKO) pada hari pertama Kejohanan

BERITA TERBARU

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,