KUCHING: Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dan Citrine One Borneo bersedia mengadakan sesi latihan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak dalam meningkatkan pengendalian perkara berkaitan media.
Perkara itu adalah antara yang disuarakan dalam kunjungan hormat wakil-wakil KDJA yang diketuai presiden, Ronnie Teo dan Pengarah Komunikasi Citrine One Borneo Jacqueline David kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini.

Latihan itu akan memberi tumpuan kepada kaedah berkesan untuk berkongsi maklumat, mengeluarkan kenyataan polis, dan meningkatkan kemahiran fotografi khususnya melibatkan pegawai perhubungan awam di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan IPK.
Selain itu, KDJA turut memaklumkan kepada Mancha mengenai penganjuran Hari Wartawan Nasional (Hawana) yang akan diadakan di Kuching pada 27 Mei ini.
Pada masa sama, persatuan itu juga mengemukakan cadangan untuk menganjurkan ceramah kesedaran awam mengenai jenayah siber dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).
Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Wong Ing Fung, Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak SAC Awang Din Awang Gani, Ketua Cawangan Khas Sarawak SAC Taufik Toh Abdullah.


