BINTULU : Keadaan jerebu di sekitar Bintulu dipercayai berpunca daripada kebakaran hutan di kawasan Kampung Jepak baru-baru ini semakin membimbangkan apabila menjejaskan kualiti udara serta keselesaan penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, situasi tersebut memerlukan perhatian serius semua pihak, terutama keadaan cuaca kering ketika ini yang boleh menyebabkan jerebu berterusan sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan pendedahan kepada udara tercemar yang boleh menjejaskan kesihatan, khususnya dalam kalangan golongan berisiko seperti kanak-kanak dan warga emas.
Menurut beliau, pemantauan berterusan terhadap kualiti udara serta pematuhan terhadap larangan pembakaran terbuka amat penting bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
Pihak sekolah juga disaran supaya sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan menyesuaikan aktiviti pelajar mengikut tahap semasa, termasuk mengurangkan aktiviti luar sekiranya bacaan berada pada tahap tidak sihat.
Sementara itu, Pejabat Daerah Bintulu telah mengeluarkan notis larangan aktiviti pembakaran terbuka di kebun atau tanah milik penduduk kampung sepanjang musim cuaca panas dan kering.
Menurut jurucakap agensi berkenaan, berdasarkan kenyataan media Jabatan Meteorologi Malaysia, negara kini sedang mengalami fasa peralihan Monsun yang bermula sejak Mac 2026 dan dijangka berterusan sehingga Mei 2026.
“Keadaan ini menyebabkan cuaca panas dan kering di kebanyakan kawasan termasuk Bahagian Bintulu, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran belukar dan tanah gambut.
“Sehubungan itu, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum diminta memainkan peranan dengan menyampaikan amaran larangan pembakaran terbuka kepada penduduk di kawasan masing-masing, khususnya pemilik kebun dan tanah, bagi mengelakkan kejadian kebakaran tidak terkawal,”katanya..
Untuk makluman, aktiviti pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan di bawah Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (Bab 84, Undang-undang Sarawak, Ed. 1958), yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.


