LUNDU: Kebakaran di Hutan Simpan Samunsan di sini yang membabitkan kawasan seluas dua hektar berjaya dipadamkan sepenuhnya hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, operasi pemadaman yang memasuki hari kelima itu melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu serta 14 anggota Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).
Menurutnya, operasi pemadaman baki kawasan seluas 0.9 hektar yang masih terbakar dimulakan pada jam 9.30 pagi sebelum disahkan selesai pada jam 4.09 petang.
“Pasukan bomba menggunakan fire forest pump, satu aliran hos sepanjang 500 kaki dan satu nozel dengan sumber air terbuka dari sungai berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PGO Bomba Sarawak sebelum ini menerima laporan berhubung kebakaran hutan simpan berkenaan pada Isnin sekitar jam 4.09 petang.
Operasi pemadaman bagaimanapun berdepan cabaran berikutan keadaan muka bumi berbukit selain jarak laluan dari jalan utama ke lokasi kebakaran yang dianggarkan sejauh 1.5 kilometer.
Selain operasi darat, usaha pemadaman turut menggunakan kaedah water bombing menerusi helikopter Mi-171 pada Sabtu lalu.
Dalam operasi itu, sebanyak 13 dump membabitkan kira-kira 18,200 liter air dilepaskan ke kawasan yang terjejas bagi membantu memadam kebakaran.


