SADONG JAYA: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sadong Jaya melakar sejarah dengan penganjuran Majlis Graduasi dan Apresiasi Kecemerlangan 2024 yang berlangsung penuh gemilang di Dewan Sri Nilam sekolah berkenaan semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, berkata, majlis tersebut dianjurkan bagi meraikan pencapaian luar biasa pelajar, guru, serta ibu bapa yang bersama-sama memastikan kejayaan anak-anak dalam pelbagai bidang.
“Majlis ini merupakan suatu pengiktirafan atas usaha dan kegigihan pelajar sekolah ini yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka dan mencapai pelbagai kejayaan.
“Ia merupakan pengiktirafan bagi mereka atas kejayaan dalam bidang akademik, kokurikulum dan inovasi serta penglibatan aktif dalam sekolah,” jelas Awla ketika berucap pada majlis terbabit.
Katanya, tahun 2024 menyaksikan SMK Sadong Jaya berjaya membentuk pelajar yang holistik menerusi program yang berjaya meningkatkan kepimpinan, disiplin dan kemahiran dalam kalangan pelajar.
Sebelum itu, Awla juga turut menzahirkan penghargaan kepada guru dan ibu bapa serta pihak pentadbiran sekolah yang terus komited dalam memastikan mutu pendidikan kekal cemerlang.
“Para guru telah berkorban masa, tenaga dan kesabaran dalam mendidik pelajar hingga ke tahap ini dan atas usaha gigih ini adalah inspirasi yang tiada tolok bandingnya.
“Tidak dilupakan, ibu bapa yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada kejayaan anak-anak mereka,” tambah Awla.
Beliau turut mengingatkan kepada pelajar terlibat agar terus berusaha serta lebih fokus dalam menghadapi cabaran mendatang.
Sementara itu, Nur Riqmal Hazami Mohamad Suhaili telah dianugerahkan sebagai Pelajar Harapan, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Hadir sama, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan, Fatimah Mat, Pengetua SMK Sadong Jaya, Kemeri Jalani, Ketua Wanita Cawangan N24 Sadong Jaya, Salasiah Bujang Narawi mewakili Ahli Parlimen P200 Batang Sadong serta Yang di-Pertua PIBG SMK Sadong Jaya, Jamil Harbi.

