SIBU: Kecerdasan buatan (AI) kini bukan lagi sekadar teknologi yang bakal mengubah masa depan, sebaliknya sudah mula memberi kesan nyata terhadap cara masyarakat bekerja, menjalankan perniagaan dan menjalani kehidupan seharian.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, perkembangan pesat teknologi itu menuntut masyarakat, khususnya golongan muda, supaya lebih bersedia menguasai kemahiran baharu dan memanfaatkan peluang yang tersedia.
Menurutnya, cabaran utama bukan sekadar menerima atau menggunakan teknologi, tetapi memastikan masyarakat mampu mengadaptasinya secara yakin, kreatif dan bertanggungjawab.
“Kecerdasan Buatan (AI) bukan lagi sesuatu yang hanya kita bincangkan sebagai teknologi masa depan. Ia sudah mengubah cara kita hidup, bekerja dan menjalankan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan TechUnity Exhibition & Forum 2026 dan Sibu Esports Championship 2026, di sini.
Michael Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata, penganjuran TechUnity bertemakan Living Smarter with AI: Towards a Sustainable Digital Future hadir pada masa yang tepat ketika teknologi berkembang pada kadar yang begitu pantas.
Katanya, program selama dua hari itu bukan sekadar menjadi ruang pameran teknologi, malah membuka peluang kepada masyarakat untuk memperoleh pengetahuan, membina jaringan dan meneroka potensi baharu dalam ekonomi digital.
“TechUnity menghimpunkan 30 pempamer, empat sesi forum, pertandingan AI, aktiviti jaringan perniagaan serta pelbagai program lain.
“Ia bukan sekadar pameran, tetapi platform untuk masyarakat kita belajar, berhubung, bertukar idea dan berkembang bersama,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Michael Tiang melihat bidang e-sukan sebagai antara ruang baharu yang mampu menyediakan peluang lebih luas kepada generasi muda.
Beliau berkata, e-sukan kini tidak lagi terhad kepada aktiviti permainan kompetitif, sebaliknya telah berkembang menjadi sebuah industri yang merangkumi teknologi, penciptaan kandungan, pengurusan acara, keusahawanan dan pelbagai bidang kreatif.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik penganjuran Sibu Esports Championship 2026 yang diadakan bersempena dengan TechUnity.
Katanya, pelibatan dalam pertandingan berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada peserta untuk mengetengahkan bakat, malah membolehkan mereka membina pengalaman dalam ekosistem yang semakin dipengaruhi perkembangan teknologi.
Untuk para pemain dan pasukan yang bertanding, Tiang mengingatkan mereka supaya menampilkan semangat kesukanan, beraksi dengan penuh integriti dan menjadikan kejohanan itu sebagai medan untuk menimba pengalaman.
“Buat Sibu bangga,” katanya.
Michael Tiang turut memberi penghargaan kepada Kelab Sukan Elektronik Daerah Sibu selaku jawatankuasa penganjur atas komitmen menjayakan program berkenaan.
Menurutnya, penganjuran acara berskala sedemikian memerlukan kerjasama erat daripada pelbagai pihak, termasuk penaja, pempamer, penceramah, sukarelawan dan organisasi sokongan.
Beliau turut menghargai sokongan Business Events Sarawak, Pejabat Residen Sibu dan Sibu Divisional Tourism Task Group (DTTG) yang terus membantu menjayakan program berkenaan.
Michael Tiang pada masa sama menggesa pengunjung dan peserta supaya tidak melepaskan peluang sepanjang dua hari program untuk menimba ilmu, memperluas jaringan dan meneroka peluang baharu yang ditawarkan teknologi.
“Paling penting, saya berharap semua yang hadir akan meninggalkan acara ini dengan pengetahuan baharu, hubungan baharu dan inspirasi baharu,” katanya.
Beliau berkata, ketika Sibu bergerak semakin jauh ke dalam era digital, usaha membina komuniti yang inovatif, saling berhubung dan bersedia menghadapi perubahan perlu dilaksanakan secara berterusan.
Hadir sama Setiausaha DTTG Sibu, Maria Nadja Jimmy Jali dan pengerusi pengelola majlis, Terrence Tan.



