BINTULU: Tandas Awam Pavilion yang terletak di kawasan Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu (Lasar Kenyalang) menjadi sasaran insiden kecurian pada hujung minggu lalu, membabitkan kehilangan beberapa kelengkapan penting kemudahan awam.
Menurut kenyataan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), kejadian dipercayai berlaku pada waktu malam, dan barangan yang dicuri termasuk lapan unit pili air sinki jenis logam di tandas lelaki dan perempuan, dua unit hos air serta seunit peletak tisu jenis logam.

BDA memaklumkan laporan polis dibuat pada Isnin lalu (7 April) membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Kami memandang serius kejadian ini kerana ia melibatkan kemudahan yang disediakan untuk keselesaan masyarakat.

“BDA mempertingkatkan pemantauan keselamatan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mencegah kejadian seperti ini daripada berulang,” menurut kenyataan agensi berkuasa tempatan(PBT) itu lagi.
Pihak BDA turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis atau menghubungi pejabat BDA secara langsung.
Insiden ini menimbulkan kebimbangan kerana tandas awam Pavilion itu baru sahaja dirasmikan pada 30 November lalu sempena Hari Tandas Sedunia sebagai sebahagian daripada inisiatif peningkatan kemudahan awam di Bintulu.
Pihak BDA turut menggesa seluruh komuniti agar bersama-sama menjaga kemudahan awam demi kesejahteraan bersama.


