KUCHING: Umat Islam diseru agar terus hidup dalam suasana harmoni, bersatu padu dan mengamalkan nilai Islam dalam kehidupan seharian.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Negeri Sarawak dalam satu hantaran rasmi hari ini.
Tun Wan Junaidi berkata, keharmonian masyarakat adalah asas penting bagi kestabilan negeri.
“Marilah kita semua kekal bersatu, saling hormat-menghormati dan memperkukuh keimanan agar terus dikurniakan kesihatan yang baik dan kehidupan yang diberkati,”ujarnya.
Beliau turut menyampaikan sampul sumbangan kepada kanak-kanak sebagai tanda kasih sayang dan keprihatinan kepada generasi muda.
Turut sama menunaikan solat berjemaah ialah Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya.


