KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof menzahirkan ucapan takziah dan rasa dukacita atas pemergian Felo Kanan Institut Masa Depan Malaysia (MASA) mendiang Datuk Dr Madeline Berma, hari ini.
Beliau menyifatkan Sarawak dan Malaysia kehilangan seorang tokoh ilmuwan tersohor serta pemikir ekonomi yang disegani kerana komitmen mendiang dalam mencurahkan khidmat bakti demi pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat.
“Mendiang Dr Madeline Berma telah memberikan sumbangan besar khususnya melalui penyelidikan mendalam dalam bidang pembangunan ekonomi, dasar awam, kemiskinan dan ketidaksamaan sosial.
“Hasil kajian serta pandangan beliau banyak membantu membentuk pemikiran dan hala tuju dasar negara, malah sering menjadi rujukan penting bukan sahaja dalam kalangan akademik, tetapi juga pembuat dasar di peringkat nasional,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini.
Fadillah berkata, sepanjang perkhidmatan mendiang sebagai Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta kepimpinan di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Dr Madeline berjaya memperkukuh wacana intelektual negara.
Katanya, mendiang turut melahirkan ramai sarjana serta membimbing generasi pembuat dasar menerusi pendekatan ilmu yang berteraskan keadilan sosial dan kemakmuran bersama.
“Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada dunia akademik, tetapi juga kepada Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya.
“Namun jasa, ilmu serta legasi pemikiran mendiang akan terus hidup, dikenang dan menjadi panduan kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan simpati kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan mendoakan agar mereka diberikan ketabahan dalam menghadapi saat sukar ini.



