Kehilangan warga emas terjawab

BETONG: Setelah lebih seminggu ghaib, teka-teki kehilangan warga emas Jam Anyan sejak 6 Jun lalu akhirnya terjawab dengan penemuan mayatnya kira-kira 3:27 petang tadi dekat kebun getah di seberang Sungai Spak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong PPgB Vincent Baling Yabi memberitahu, pasukan SAR menemui mayat mangsa kira-kira empat kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB) berhampiran rumah panjang Mupoh Baroh.

“Mangsa ditemui terbaring dan selepas itu dibawa ke PKB sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Dengan penemuan tersebut, operasi SAR yang digerakan sejak Rabu ditamatkan serta-merta,” katanya dalam kenyataan kepada pemberita, hari ini.

Ketika ditemui, Jam menggunakan seluar pendek tanpa baju.

Terdahulu, Jam yang dikatakan memiliki kurang daya ingatan dilaporkan keluar dari rumah lapan hari lalu tanpa pengetahuan siapa-siapa.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah (KPD) Betong ASP Noor Illham Hadeni ketika dihubungi mengesahkan, mayat dalam keadaan sempurna.

Namun katanya punca kematian masih belum dapat disahkan.

Mayat kini berada di Hospital Betong untuk siasatan lanjut.

Suara Sarawak