KUALA LUMPUR: Semakin ramai lelaki berjaya dilaporkan berdepan tekanan emosi, keletihan dan masalah kesejahteraan mental secara senyap walaupun kelihatan cemerlang dari segi luaran.
Pakar yang menghadiri Sidang Kemuncak Kesihatan Asia 2026 berkata budaya mengejar pencapaian, status dan produktiviti menyebabkan ramai lelaki mengabaikan kesihatan fizikal, emosi serta mental demi kerjaya dan pengiktirafan.
Menurut Bernama, mereka berpandangan ramai lelaki masih mengaitkan nilai diri dengan kejayaan kewangan dan prestasi kerja sehingga gagal mengawal tekanan serta kurang kesedaran terhadap keadaan emosi sendiri.
Pakar turut menegaskan gaya hidup moden seperti kurang tidur, tekanan berpanjangan, pemakanan tidak sihat dan kurang aktiviti fizikal menjadi antara faktor utama yang menjejaskan tahap tenaga serta kesihatan metabolik lelaki.
Selain itu, teknologi kesejahteraan dilihat hanya mampu membantu proses pemulihan dan penjagaan kesihatan, namun tidak dapat menggantikan amalan asas seperti tidur mencukupi, senaman dan pengurusan tekanan yang konsisten.

