KUCHING: Jaguh bina badan negara kelahiran Sibu, Sarawak iaitu Siti Hadjar Mansor, 42, menyifatkan kejayaan muncul juara dalam kategori wanita (55kg ke atas) pada Kejohanan Bina dan Sukan Fizikal Asia Ke-58 2026 sebagai suatu kenangan terindah buat dirinya.
Ia bukan sahaja pencapaian peribadi terbaik, malah berjaya mengharumkan nama negara pada kejohanan yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 22 hingga 29 September lalu tersebut.
“Cukup gembira apabila berjaya merangkul gelaran juara dalam kejohanan berprestij itu.

“Kerja keras dilakukan sepanjang mengabadikan diri selama sembilan bulan menjalani membuahkan kejayaan ini,” ujar Siti yang lebih mesra dipanggil Ajasaza kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau akui, bukan mudah untuk dirinya mendakap gelaran berprestij itu mengambil kira saingan sengit diberikan wakil dari beberapa buah negara lain.
Bagaimanapun, beliau menjadikan segala tunjuk ajar dua ‘sifunya’ (Awang Mohd. Azizul & Buda Anchah) sebagai penanda aras dirinya untuk kekal fokus sepanjang saingan.
“Memang sedikit sedih kerana jurulatih saya (Awang Mohd. Azizul) tidak dapat bersama-sama pada hari kejohanan ekoran masalah yang tidak dapat dielakkan.
“Namun, saya berjaya menghadiahkan kejuaraan ini untuk beliau,” tambah Ajasaza yang turut mengakui kejayaan diperoleh dirinya turut diabadikan untuk seluruh rakyat Malaysia dan Sarawak.
Ajasaza menegaskan, ini merupakan penampilan keduanya dalam kejohanan terbabit.
Pada 2024 beliau sekadar menduduki tempat ketiga.

