KUCHING: Keterujaan buat dua jaguh bina badan negara kelahiran Sarawak, Dr Malvern Abdullah dan Philomena Dexclyn Anak Siar yang telah berjaya meraih pingat pada Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik 2023 di Wonju, Korea Selatan baru-baru ini.
Langsung tidak menjangka mampu mencipta kejutan di sebalik penampilan dalam kejohanan berprestij yang turut disertai ramai jaguh dunia mewakili pelbagai negara.
Bagi Dr Malvern yang berjaya meraih pingat perak kategori kegemarannya (160 cm ke atas) cukup gembira dengan kejayaan diciptanya pada kejohanan itu.
“Saingan cukup sengit terutama daripada wakil negara lain yang turut serta.
Apa pun, saya berjaya mempamer aksi terbaik pada peringkat akhir,” ujar Malvern pada sidang media setibanya di Lapangan Antarabangsa Kuching (LTAK) sebentar tadi.
Menurutnya, kejayaan meraih pingat perak di kejohanan itu sekali gus membalas kepercayaan diberikan dalam menggalas cabaran negara.
Menurut Malvern, ia merupakan pingat perak kelima bagi dirinya sepanjang penampilan beliau di kejohanan berstatus dunia itu.
Philomena Dexclyn Anak Siar juga menyuara perasaan sama.
Anak jati kelahiran Kampung Kakeng Serian itu tidak menjangka mampu menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik pada kejohanan tersebut.
“Syukur apabila berjaya meraih dua pingat gangsa pada kejohanan tersebut.
“Cabaran cukup sengit saya hadapi kali ini, namun berjaya mengatasinya,” jelas Philomena.
Philomena berjaya meraih dua pingat gangsa menerusi dua kategori iaitu sukan fizik wanita (165cm ke atas) dan terbuka sukan fizik wanita (35 Tahun).
Seorang lagi jaguh bina badan Sarawak yang turut serta dalam kejohanan itu ialah Asri Asmat Sefri yang menduduki tempat ke-4 kategori (55kg).
Hadir menyambut ketibaan rombongan terbabit di LTAK ialah Presiden Persatuan Bina Badan Sarawak (SBBA), Datuk Wee Hong Seng.

