KUCHING: Kejohanan Futsal Tertutup Piala Pusingan Kasut Emas Datuk Seri Doris Sophia Brodie kembali menghangatkan arena futsal di Sri Aman apabila dijadualkan berlangsung selama empat hari pada Oktober ini.
Kejohanan anjuran Pusat Khidmat Rakyat Sri Aman itu diteruskan bagi tahun ketiga selepas mula diperkenalkan pada 2024, dengan tumpuan diberikan kepada usaha mencungkil bakat baharu serta menggalakkan pelibatan golongan belia dalam aktiviti sukan.
Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodie berkata, penganjuran kejohanan ini bukan sekadar memberi peluang kepada pemain menunjukkan kemahiran, malah menjadi wadah untuk membina semangat kesukanan dan mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.
“Kita mahu kejohanan ini terus menjadi platform kepada golongan belia untuk mengetengahkan bakat mereka dalam futsal, menggalakkan gaya hidup sihat dan semangat kesukanan.
“Pada masa yang sama, kita mahu penganjuran ini menjadi ruang untuk masyarakat berkumpul, berinteraksi dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat persediaan kejohanan di Pusat Khidmat Rakyat Sri Aman, semalam.
Menurutnya, kesinambungan penganjuran kejohanan berkenaan membuktikan komitmen untuk menyediakan lebih banyak ruang kepada masyarakat, khususnya anak muda, menyertai aktiviti yang sihat dan bermanfaat.
“Bagi edisi ketiga ini, persaingan akan berlangsung selama empat hari dengan penyertaan daripada pasukan yang akan bertanding bagi merebut piala pusingan, sekali gus menjadikan pertandingan lebih kompetitif.
“Diharapkan penganjuran tahun ini mendapat sambutan baik dengan penyertaan pasukan yang lebih ramai, selain berlangsung dalam suasana meriah dan teratur,” tambahnya.
Kejohanan ini dijangka menjadi antara platform penting dalam usaha mengenal pasti bakat futsal baharu di Sri Aman, selain memperkukuh semangat perpaduan serta silaturahim dalam kalangan belia di kawasan Parlimen berkenaan.



