KUCHING: Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sarawak Ke-53 Tahun 2026 yang berlangsung pada 10 hingga 14 Ogos ditangguhkan susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat di Daerah Samarahan.
Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) berkata, pihaknya mengambil berat kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh atlet dan warga pendidikan yang terlibat dalam kejohanan tersebut.
Katanya, kejohanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu akan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.
“JPNS sentiasa menitikberatkan penjagaan, kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca di luar jangkaan.
“Cuaca panas yang melanda negara juga turut menyebabkan beberapa lokasi di Sarawak menunjukkan bacaan IPU pada paras tidak sihat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, JPNS memberi peringatan kepada semua pejabat pendidikan daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan bawah seliaan agar melaksanakan langkah-langkah pencegahan.
Antaranya, menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas serta memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.
Bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid hendaklah dihentikan.
Institusi pendidikan juga perlu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.
Murid-murid turut dinasihatkan memakai penutup hidung (nasal mask) dan minum air dalam kuantiti yang sesuai dengan kerap bagi mengawal suhu badan.
Bagi murid asrama, bekalan air minuman perlu disediakan sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman.
JPNS turut mengingatkan semua pihak supaya sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas.
“Semua institusi pendidikan bawah seliaan JPNS dinasihati agar sentiasa mengikuti garis panduan seperti yang terkandung dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 3 Tahun 2023; Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Luar Institusi Pendidikan Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia Semasa Cuaca Panas bertarikh 6 Jun 2023.
“Institusi pendidikan juga perlu peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena berjerebu di kawasan atau daerah masing-masing dan mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid dan warga institusi pendidikan,” katanya.
JPNS mengambil berat kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya.


