ARTIKEL

Kejohanan Sukan Tahunan SK Rumah Barrau semarakkan nilai kebersamaan – Dr. Stephen

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Semangat perpaduan dan kebersamaan menjadi tunjang kepada kejayaan penganjuran Kejohanan Sukan Tahunan dan Sukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Rumah Barrau, Tatau, yang berlangsung dengan penuh meriah baru-baru ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Perpaduan Negara, Dr. Stephen William berkata, aktiviti sukan bukan sekadar medan menguji kekuatan fizikal, sebaliknya wadah penting dalam memupuk nilai disiplin, kesungguhan dan semangat sepasukan dalam kalangan murid serta masyarakat.

“Sukan bukan hanya tentang siapa yang paling pantas atau paling kuat, tetapi tentang semangat kebersamaan, disiplin dan kesungguhan. Nilai inilah yang perlu kita semai dalam diri anak-anak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Perpaduan Negara, Datuk Sri Aaron Ago Dagang pada kejohanan berkenaan yang diadakan di padang sekolah tersebut.

Menurut Dr. Stephen, semangat perpaduan tidak wajar hanya disemarakkan ketika di padang sukan semata-mata, sebaliknya perlu dijadikan amalan dalam kehidupan seharian bagi memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini terus kukuh.

“Perpaduan ialah asas kekuatan negara. Ia bermula dengan saling menghormati dan bekerjasama antara satu sama lain,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap Datuk Sri Aaron Ago Dagang yang sebelum ini menyalurkan bantuan dana kepada pelajar sekolah berkenaan bagi menyertai pertandingan hoki. Hasilnya, seorang murid SK Rumah Barrau kini berjaya mewakili pasukan MSS Sarawak ke Kejohanan Hoki MSSM 2025.

“Walaupun kemudahan sukan di sekolah ini masih terhad, semangat dan kesungguhan anak-anak di sini membuktikan bahawa kejayaan tidak mengenal batas. Saya akan panjangkan isu kekurangan fasiliti sukan ini ke peringkat Persekutuan agar sekolah luar bandar turut mendapat perhatian,” katanya lagi.

Sementara itu, Guru Besar SK Rumah Barrau, Agnes Lendun John Jutie berkata, kejohanan yang diadakan selama dua hari itu bukan sahaja menguji kemampuan murid, tetapi juga memperkukuh semangat kesukanan, kerjasama serta perpaduan dalam kalangan warga sekolah.

Dr. Stephen menandatangani buku pelawat SK Rumah Barrau.

Menurutnya, penganjuran Sukan PIBG yang dijalankan serentak turut memberi peluang kepada ibu bapa dan guru berinteraksi dalam suasana santai, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dan membentuk komuniti sekolah yang harmoni serta progresif.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Perpaduan Negara, Datuk Sri Aaron Ago Dagang atas sokongan padu terhadap pelaksanaan Program Pembangunan Hoki Sekolah yang dimulakan sejak tahun 2023.

“YB Datuk Sri Aaron merupakan tulang belakang kepada kejayaan pasukan hoki sekolah kami. Beliau banyak membantu dari segi kewangan dan semangat, dan hasilnya kami kini berjaya melahirkan pemain hingga ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Kejohanan dua hari itu bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat sukan dalam kalangan pelajar, malah menjadi simbol kepada semangat perpaduan dan kebersamaan masyarakat di kawasan pedalaman Tatau.

Dr. Stephen merakam gambar bersama warga pendidik dan ibu bapa SK Rumah Barrau.

BERITA LAIN

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha