ARTIKEL

Kekalkan momentum sektor agrikomoditi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PUTRAJAYA: Inisiatif agropelancongan, peningkatan kemahiran mekanisasi dan automasi serta kerjasama pihak berkepentingan dalam sektor agrikomoditi perlu dipergiat bagi memastikan kemampanan sektor itu dalam mendepani ketidaktentuan pasaran dunia tahun hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Mengambil kira sektor agrikomoditi sebagai tunjang utama ekonomi negara, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata Malaysia perlu mengekalkan momentum sektor tersebut agar komoditi yang dihasilkan dapat bersaing di persada pasaran dunia.

“Di sinilah peranan pihak lembaga, agensi kita untuk memberi tumpuan bagaimana kita dapat tingkatkan penyelidikan selain menjalin kerjasama dengan pihak industri atau para akademik untuk hasilkan teknologi baharu berasaskan automasi dan mekanisasi,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Agrikomoditi Negara (HAKN) di sini.

Memberi contoh mengenai kemahiran automasi dan mekanisasi yang boleh diketengahkan seperti penggunaan dron dan mesin, Fadillah berkata ia juga secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja luar selain menarik minat belia untuk terlibat dalam industri agrikomoditi.

“Persaingan semakin tinggi dan kita tidak boleh lagi bergantung kepada tenaga luar seperti Indonesia contohnya kerana mereka juga semakin berkembang dari segi ekonominya.

“Mungkin untuk mendapatkan pekerja yang mahir menjadi satu cabaran untuk kita, sebab itu kita kena mahir kepada teknologi, mekanisasi dan automasi,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata peranan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bukan sahaja sebagai pengawal selia dan pemudah cara tetapi mempunyai matlamat utama mempermudahkan pihak industri agrikomoditi dalam meningkatkan produktiviti atau hasilan, sekali gus menyumbang kepada sumber pendapata nmereka.

Pihak KPK juga dalam masa yang sama perlu membantu pekebun kecil bagi memastikan pendapatan mereka dapat ditingkatkan, katanya.

“Tapi ini hanya akan berjaya kalau kita semua tingkatkan hubungan kerjasama yang erat di antara kita semua kerana kalau pihak kementerian sahaja (berusaha), kita tidak akan dapat melaksana atau mencapai hasrat kita untuk menjadikan negara ini sebuah negara yang maju dan makmur dengan mengeluarkan produk-produk yang berhasilan tinggi, bukan saja dari hiliran, tapi huluan juga,” katanya.

Fadillah dalam sidang media selepas sambutan itu berkata sektor agrikomoditi juga boleh dikembangkan kepada agropelancongan dengan para pengusaha boleh mengambil inisiatif mewujudkan elemen pelancongan di kedai atau kebun mereka sebagai tarikan pelancong.

Memberi contoh Lee’s Cocoa Shop di Tanjung Sepat, Selangor, Fadillah berkata selain penanaman koko, pengusaha berkenaan juga membuka peluang kepada ramai pelajar dan penyelidik untuk mempelajari proses tanaman koko dan penghasilan coklat.

Beliau berkata seiring dengan pertumbuhan dalam sektor agrikomoditi, pembangunan industri biojisim terutamanya dalam bidang perladangan dan penternakan juga akan diberi penekanan.

“Kita mahu lihat bagaimana bahan dan sisa yang tidak digunakan itu dapat diproses untuk dijadikan produk makanan haiwan atau baja atau menghasilkan produk hiliran daripada bahan buangan ini,” katanya. – Bernama

LAIN-LAIN BERITA

Swift Haulage sasar sumbangan pergudangan naik 25 peratus

KLANG: Swift Haulage Bhd menyasarkan sumbangan daripada segmen perkhidmatan pergudangan dan depoh kontena naik 25 peratus berbanding 15 peratus pada masa ini. Ketika ini perkhidmatan pengangkutan kontena dan

Eksport orkid sumbang RM4 bilion setahun

HASIL eksport orkid Malaysia mampu menyumbang RM4 bilion kepada industri florikultur di Malaysia kerana mendapat permintaan tinggi dari negara luar. Ketua Unit Industri Florikultur (Bahagian

BERITA TERBARU

Allahyarham Tun Taib, Arkitek Pemodenan

MIRI: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud digambarkan sebagai seorang Arkitek Pemodenan kerana sepanjang perkhidmatannya sebagai Ketua Menteri, beliau berjaya mengangkat serta