PUSA: Kekurangan nelayan serta vesel laut dalam dikenal pasti antara cabaran utama yang menyumbang kepada rendahnya jumlah pendaratan ikan di Sarawak, walaupun negeri ini mempunyai kawasan perairan luas serta kemudahan fasiliti pendaratan yang lengkap dan moden.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil menggesa komuniti nelayan di Sarawak supaya berani melakukan anjakan dan perubahan bagi memodenkan sektor perikanan.
Menurut beliau, Sarawak memiliki potensi industri perikanan yang sangat besar berdasarkan faktor geografi serta kemudahan infrastruktur yang tersedia.
“Kita mempunyai fasiliti perikanan yang baik di Sarawak dengan dua pelabuhan besar dan enam kompleks pendaratan ikan, namun jumlah pendaratan ikan di negeri ini masih rendah.
“Cabaran utama ialah kekurangan nelayan dan vesel laut dalam Kelas C dan C2 yang sepatutnya dapat mengoptimumkan segala kemudahan yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Rahmah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan PNK Layar Rimbas 2026 di Dewan Rahmaniah, dekat sini, hari ini.

Faiz menegaskan, tanpa pertambahan nelayan yang berani meneroka penangkapan ikan di laut dalam, bekalan ikan pada masa hadapan dikhuatiri tidak mencukupi bagi menampung permintaan semasa.
Katanya lagi, sebagai langkah sokongan kepada komuniti nelayan, Kerajaan Madani kini membenarkan nelayan di seluruh negara membeli minyak diesel bersubsidi sehingga maksimum 50 liter sehari pada harga RM1.65 seliter.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan LKIM turut memperuntukkan dana yang besar untuk pembangunan industri perikanan dan kebajikan nelayan di Sarawak.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan Bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) kepada nelayan di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Layar Rimbas bagi 2026 berjumlah RM234,000.
Selain itu, seramai 32 penerima menerima bantuan di bawah Program Peningkatan Pendapatan Insentif/Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan (Touch Point), dengan dua nelayan menerima bantuan enjin sangkut 30 kuasa kuda (HP), manakala 30 nelayan menerima bantuan pukat hanyut serta kotak ikan insulasi berkapasiti 100 liter melibatkan nilai keseluruhan RM50,000.
Turut diluluskan ialah peruntukan pembelian peralatan bagi kegunaan pejabat PNK Layar Rimbas.



