SIBU: Cabaran Muay Thai Amatur Sibu 2026 melabuhkan tirainya malam tadi di Dewan MUC Sibu, menyaksikan dominasi Kelab Muay Thai Sting yang muncul juara keseluruhan.
Kelab terbabit cemerlang menamatkan saingan dengan merangkul 10 pingat emas dan lima pingat perak.
Di kedudukan kedua ialah Kelab Muay Thai Phoenix Meranek, manakala Kelab Muay Thai Tugau berada di kedudukan ketiga.

Sementara itu, Dewan MUC Sibu dihangatkan sepanjang malam dengan sorakan penyokong yang memberikan sokongan padu kepada peserta yang mengambil bahagian.
Turut mencuri tumpuan ialah aksi membabitkan kategori 71-75kg yang dimenangi Ar Rayyan Abdullah dari DMT X Rentap Muay Thai Gym selepas menundukkan wakil Eagle Muay Thai, Kevin Wong Long.
Tidak kurang menariknya ialah aksi dimenangi Muhd Qayyum Habibullah (Kelab Muay Thai Sting) yang mengatasi Brian Issac Rhonald (PS Muay Thai Bintulu) dalam kategori 57-60kg.
Gelanggang bertambah gamat apabila wakil Warmonger Training Academy, Danny Huang Hng Peng, berjaya menyingkirkan peserta West Borneo Muay Thai Club, Paullinus Akui Lea, dalam kategori 54-57kg.
Satu lagi aksi menarik menyaksikan Peter Alexzender Chandrasagaran yang mewakili SS Muay Thai Gym berjaya menundukkan wakil Legacy Muay Thai, Ahmad Shahrizal Wafid dalam kategori 44-46kg.
Nasib berbeza dialami Marsanda Ika, mewakili West Borneo Muay Thai Club, apabila akur tewas di tangan Fatiha Hanum dari Kelab Phoenix Meranek dalam pertembungan 45-48kg.
Seramai 120 peserta mewakili 20 kelab, termasuk dari Kalimantan Barat, mengambil bahagian dalam cabaran yang dianjurkan oleh Persatuan Muay Thai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama Persatuan Muay Thai Sibu.
Cabaran yang berlangsung selama dua hari (Jumaat dan Sabtu) turut mendapat kelulusan rasmi penganjuran daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia serta sokongan daripada badan induk kebangsaan, Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM), dan disokong penuh oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia serta Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak, Lamat Anak Nyalau.
Hadir sama wakil Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Cr. Abg Kamalludin Ang Hamdan, Presiden PMNS Jumaat Ibrahim, Presiden Persatuan Muay Thai Bahagian Sibu Tan Eng Chung, Pengerusi Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) Sibu Anuar Taha serta wakil SSC Alexander Sirai dan Pegawai Pembangunan Sukan (SDO) Muay Thai SSC Nikram Shazran Sapari.



