Kelapa tua untuk pengusaha sagu

MUKAH: Penduduk di kawasan Dun Tellian di sini yang bekerja sebagai pengusaha sagu dan kuih-muih akan menerima bantuan kelapa tua bermula hari ini (Selasa).

Timbalan Ketua Ranting PBB Tellian Manuchir Smith berkata, sebanyak 17 pengusaha sagu serta 19 pengusaha kuih-muih di Kampung Tellian Ulu menerima 750 biji kelapa tua tersebut.

“Bermula bulan ini, penduduk yang terlibat akan menerima agihan kelapa tua selama enam bulan,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Menurutnya, Pertubuhan Peladang Kawasan Mukah dan Jabatan Pertanian Bahagian Mukah akan mengurus pengagihan bantuan itu kelak.

Jelasnya, pengagihan itu merupakan tindakan Kerajaan GPS bagi memulihkan pendapatan petani serta nelayan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu jelasnya, barubaru ini, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, sebanyak RM2.3 juta diperuntukkan kepada agensi berkaitan untuk membeli hasil mereka.

Inisiatif itu jelas Uggah menunjukkan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan petani dan nelayan yang merupakan pemain utama dalam rantaian makanan di negeri ini.

Jelasnya lagi, petani dan nelayan kini berhadapan dengan masalah untuk menjual hasil masing-masing, yang seterusnya memberikan impak terhadap pendapatan.

Justeru melalui Jabatan Pertanian Sarawak, Kerajaan Sarawak membantu dan menyediakan dana kepada Pertubuhan Peladang Kawasan di negeri ini untuk membeli hasil daripada pekebun kecil.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah turut mengumumkan bahawa RM200,000 diperuntukkan kepada Fama bagi membeli hasil petani dan menganjurkan pasar tani.

“Kerajaan juga memperuntukkan RM600,000 kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk membeli hasil tangkapan.

“Jadi, kami menggesa petani mahupun nelayan untuk berhubung dengan agensi terbabit bagi urusan menjual hasil masing-masing.

“Sebenarnya, petani dan nelayan di Betong, Samarahan, Meradong, Sibu, Limbang, Bintulu dan Miri antara yang sudah melakukan perkara tersebut,” ujarnya lagi.

Suara Sarawak