KUCHING: Kerajaan meluaskan kelayakan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada kenderaan persendirian syarikat kategori jip dan pikap bagi membantu mengurangkan kos operasi peniaga mikro serta perusahaan kecil yang layak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata sektor baharu itu melibatkan Sektor Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap) yang ditambah kepada dua sektor sedia ada di bawah SKDS, iaitu Sektor Pengangkutan Darat (Awam) dan Sektor Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna).
“Dengan penambahan tersebut, jumlah keseluruhan jenis kenderaan dan kelas kegunaan yang layak di bawah SKDS kini meningkat kepada 35 kategori.
“Peluasan tersebut disasarkan untuk memberi manfaat kepada golongan peniaga mikro dan kecil yang menjalankan perniagaan di bawah pemilikan tunggal atau perkongsian,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata permohonan pendaftaran bagi sektor baharu itu dibuka bermula hari ini, 3 Julai 2026, manakala kelayakan menerima subsidi akan berkuat kuasa mulai 15 Julai ini, tertakluk kepada kelulusan permohonan serta pemilikan kad armada (fleet card).
“Antara syarat kelayakan ialah kenderaan berkenaan mesti didaftarkan sebagai kenderaan perniagaan dengan Kelas atau Kod Kegunaan Persendirian Syarikat (AE) dalam sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Selain itu, perniagaan hendaklah didaftarkan sebagai pemilikan tunggal atau perkongsian menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pendaftaran Pihak Berkuasa Tempatan bagi Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Beliau turut menggesa pemilik perniagaan yang memenuhi syarat supaya mengemukakan permohonan secepat mungkin menerusi portal MySubsidi bagi membolehkan mereka menikmati subsidi diesel di bawah skim berkenaan.
“SKDS merupakan antara mekanisme penyaluran subsidi diesel bersasar yang dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), khusus untuk entiti perniagaan, syarikat dan koperasi yang layak di seluruh negara.
“Di bawah skim ini, subsidi diesel disalurkan menggunakan kaedah kad armada dengan kadar kuota tetap yang ditentukan mengikut jenis badan, kelas kegunaan serta kategori teknikal kenderaan,” jelasnya lagi.
Selain SKDS, penyaluran subsidi diesel turut dilaksanakan menerusi program BUDI Diesel dan BUDI Agri-Komoditi yang dikendalikan oleh Kementerian Kewangan, manakala Skim Subsidi Diesel Nelayan pula dikawal selia oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.



