KUCHING: Kelewatan memuktamadkan proses persempadanan semula Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bukan sahaja menjejaskan penggunaan 17 kerusi baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, malah berpotensi memberi kesan kepada kedudukan politik Sarawak dalam sistem Persekutuan serta agenda Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Penganalisis Sosiologi Politik Sarawak, Profesor Dr Novel Lyndon berkata, isu berkenaan perlu dilihat dari perspektif lebih luas kerana membabitkan keadilan perwakilan, legitimasi institusi serta keseimbangan kuasa antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.
“Cadangan penambahan kerusi DUN dibuat dengan mengambil kira perubahan demografi, perkembangan kawasan serta keluasan geografi Sarawak yang memerlukan perwakilan lebih seimbang.
“Sekiranya persempadanan gagal dimuktamadkan sebelum PRN, kawasan yang mengalami pertambahan penduduk akan terus diwakili berdasarkan sempadan lama yang mungkin tidak lagi mencerminkan realiti semasa,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Menurutnya, keadaan itu boleh mewujudkan ketidakseimbangan perwakilan apabila kawasan yang semakin padat penduduk masih mempunyai bilangan wakil rakyat yang sama.
Dalam jangka panjang, katanya, keadaan itu berpotensi mempengaruhi keupayaan kerajaan menyalurkan pembangunan secara lebih seimbang kerana sempadan pilihan raya sering menjadi asas kepada perancangan pembangunan dan penyampaian perkhidmatan awam.
Novel berkata, walaupun persempadanan DUN dan Parlimen merupakan dua proses berbeza, kedua-duanya saling berkait dari sudut institusi kerana bergantung kepada kapasiti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), proses kajian persempadanan serta komitmen politik Kerajaan Persekutuan.
“Kelewatan menyelesaikan persempadanan DUN boleh memberi isyarat bahawa reformasi representasi berjalan perlahan, sekali gus menjejaskan momentum untuk membincangkan isu lebih besar iaitu pertambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.
“Dalam konteks MA63, tuntutan menambah kerusi Parlimen bukan sekadar isu bilangan kerusi, tetapi berkait rapat dengan usaha memperkukuh kedudukan politik Sabah dan Sarawak dalam struktur Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, kelewatan berkenaan juga boleh menjejaskan keyakinan terhadap kemajuan reformasi institusi berkaitan MA63.
Katanya, jika terus tertangguh, tuntutan supaya Sabah dan Sarawak memperoleh perwakilan lebih seimbang di Parlimen berpotensi menjadi semakin kuat, selain meningkatkan persepsi bahawa agenda reformasi MA63 bergerak terlalu perlahan.
“Keadaan itu juga berpotensi menjadikan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak lebih kompleks kerana isu representasi berkait secara langsung dengan pengagihan kuasa, pembangunan dan autonomi.
“Dalam era politik gabungan hari ini, jumlah kerusi Parlimen semakin penting kerana ia menentukan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai penentu kestabilan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau menegaskan penyelesaian segera yang mematuhi proses undang-undang serta prinsip integriti pilihan raya penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi terus terpelihara.


