KUCHING: Seorang kelindan lori dijatuhi hukuman denda RM1,200 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya telah diragut sehingga menyebabkan wang milik syarikatnya hilang.
Kenneth, 39, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberikan maklumat secara bertulis kepada seorang anggota polis berpangkat Sarjan yang boleh menyebabkan penjawat awam menyalahgunakan kuasa sahnya.
Dia melakukan kesalahan itu di Balai Polis Batu Kawa, sekitar jam 9.03 pagi pada 16 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, pengadu merupakan anggota polis berpangkat Sarjan Mejar yang menjalankan siasatan bersama rakan setugasnya mengenai satu laporan kes ragut.
Hasil siasatan mendapati tertuduh membuat laporan palsu dan kejadian ragut yang dilaporkan adalah rekaan semata-mata.
Dia menyatakan berbuat demikian kerana telah menggunakan wang syarikat untuk membayar sewa bulanan keretanya.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Akmal Sharidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


