LUBOK ANTU: Seorang warga emas dilaporkan masih hilang selepas keluar dari rumahnya sejak lewat malam Sabtu lalu.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel, pihaknya menerima makluman mengenai kehilangan Chin Shin Fah, 60, dari Rumah Panjang Merio Tambak, Kara pada jam 7.52 malam Ahad.
“Bilik Gerakan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lubok Antu menerima laporan berhubung seorang lelaki warga emas yang tidak pulang ke rumah selepas keluar sekitar jam 10.45 malam Sabtu.
“Isteri mangsa memaklumkan suaminya tidak menyatakan tujuan keluar rumah. Ketika keluar, mangsa memakai baju lengan panjang berwarna kelabu dan berseluar pendek hitam.
“Sehingga tengah hari tadi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih belum menemukan sebarang petunjuk mengenai mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini penduduk rumah panjang telah berusaha melakukan pencarian awal di sekitar kawasan penempatan berkenaan.
Hari ini merupakan hari pertama operasi SAR melibatkan pelbagai agensi bersama penduduk setempat yang dibahagikan kepada tiga kumpulan, dengan radius pencarian sejauh dua kilometer dari lokasi rumah panjang.
“Operasi SAR pada sebelah petang diteruskan dengan tumpuan diberikan kepada kawasan sungai berhampiran rumah panjang,” ujarnya.
Mangsa berketurunan Cina dan beragama Kristian, dianggarkan berketinggian 169 sentimeter serta mempunyai berat badan sekitar 60 kilogram.


