KUCHING: Seorang wanita warga emas kerugian sebanyak RM21,700 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai penjual makanan vegetarian di Facebook.
Mangsa berusia 78 tahun itu tertarik dengan iklan penjualan sayur-sayuran oleh akaun Facebook tersebut sebelum menghubungi nombor tertera untuk membuat tempahan pada 9 Julai lalu.

Selepas dihubungi, mangsa diarahkan untuk membuat tempahan melalui satu pautan laman web yang diberikan oleh individu tidak dikenali.
“Individu itu turut membuat panggilan video kepada saya, kononnya untuk membantu membuat tempahan kerana saya gagal beberapa kali log masuk ke laman itu,” katanya pada sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat ADUN Batu Kitang, hari ini.
Dia kemudian diarahkan untuk memuat naik gambar kad bank ke laman berkenaan atas alasan memudahkan proses pembayaran.
Mangsa menyedari sesuatu tidak kena apabila menerima notifikasi transaksi keluar wang daripada pihak bank, namun mesej itu terpadam secara automatik sebelum sempat dibaca.
Bimbang dengan kejadian itu, mangsa menghubungi anak perempuannya dan terus ke bank sebelum dimaklumkan dua transaksi mencurigakan berjumlah RM6,900 dan RM14,800 telah dipindahkan ke akaun Boost Bank dan Aeon Bank.

Anaknya yang turut membuat laporan polis berkata, dia segera menghubungi pihak bank dan talian 997 milik Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) untuk tindakan lanjut.
Menurutnya yang berusia 54 tahun, pihak bank memaklumkan bahawa telefon ibunya berkemungkinan dijangkiti virus yang memberi akses kepada pihak ketiga mengawal peranti berkenaan.
“Lebih membimbangkan, sindiket turut mengakses aplikasi WhatsApp ibu dan menghantar mesej kepada semua kenalan untuk meminta wang.
“Saya turut menemui tiga aplikasi tidak dikenali yang dipasang dalam telefon ibu dan gagal dipadam walaupun beberapa kali cuba dilakukan.
“Sindiket juga dipercayai menggunakan panggilan video untuk merakam wajah mangsa dan menyimpan semua gambar serta maklumat keluarga dalam telefon itu,” katanya.
Tambahnya, semakan lanjut mendapati terdapat cubaan untuk mengakses dua lagi aplikasi perbankan dalam telefon ibunya, namun kedua-duanya berjaya disekat oleh sistem keselamatan bank kerana dikesan sebagai aktiviti tidak sah.
Malah katanya, panggilan dan notifikasi tidak dapat diterima di telefon berkenaan, menyebabkan keluarga tidak dapat menghubungi ibu sehingga dia sendiri bertindak mencabut kad SIM bagi menghentikan aktiviti tersebut.
“Kami dimaklumkan terdapat mangsa lain yang turut tertipu dengan iklan sama dan menyasarkan warga emas sebagai sasaran utama.
“Sehingga kini, kami masih belum menerima balik wang itu dan berharap pihak berkuasa serta institusi kewangan segera menyiasat, memandangkan nombor telefon dan akaun Facebook sindiket itu masih aktif,” katanya.
Sementara itu, ADUN Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang berkata, negara mencatat kerugian mencecah RM13 bilion setahun akibat jenayah penipuan dalam talian dan menyeru langkah tegas diambil bagi membanteras sindiket tersebut.



