ARTIKEL

RAKAM KENANGAN… Peserta Kem Belia MADANI merakam kenangan semasa program tersebut.

Kem Belia MADANI perkukuh jati diri kepimpinan pelajar PMU

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Seramai 31 peserta terdiri daripada barisan Majlis Tertinggi dan Exco Sekretariat Rakan Muda Politeknik Mukah (PMU) menyertai Kem Belia MADANI selama empat hari tiga malam di Pusat Latihan Kenegaraan Sampadi, baru-baru ini.

Program anjuran Sekretariat Rakan Muda PMU dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Sarawak itu bertujuan memperkukuh jati diri, menyemai semangat patriotisme serta memantapkan nilai kepimpinan dalam kalangan barisan kepimpinan pelajar.

Kem tersebut turut menghimpunkan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar PMU, Jawatankuasa Politeknik Metro Betong serta Sekretariat Rakan Muda Kolej Komuniti Mas Gading.

Menurut kenyataan PMU, penglibatan pelbagai institusi itu sekali gus menjadikan program berkenaan sebagai platform kolaborasi strategik antara institusi pengajian tinggi (IPT) di Sarawak dalam memperkasa agenda pembangunan belia.

“Sepanjang program yang berlangsung dari 12 hingga 15 Februari lalu, para peserta mengikuti pelbagai pengisian berteraskan konsep Malaysia MADANI.

“Antaranya termasuk latihan dalam kumpulan, ceramah kenegaraan, aktiviti pembinaan pasukan serta modul kepimpinan yang menekankan aspek integriti, disiplin dan semangat kerja berpasukan,” kata kenyataan itu.

Seorang wakil peserta berkata, kem tersebut memberi pengalaman bermakna dan membuka perspektif baharu mengenai peranan sebenar seorang pemimpin pelajar.

“Program ini bukan sekadar aktiviti luar, tetapi medan untuk kami mengenali potensi diri, belajar bekerjasama dan memahami erti kepimpinan yang sebenar.

“Modul yang disampaikan sangat memberi kesan dan menyedarkan kami tentang tanggungjawab sebagai pemimpin,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi wakil peserta menyifatkan kem berkenaan sebagai platform terbaik untuk membina keyakinan diri serta memperkukuh semangat berpasukan.

“Kami belajar bahawa kepimpinan bukan hanya tentang memberi arahan, tetapi tentang mendengar, memahami dan memimpin melalui teladan.

“Pengalaman sepanjang empat hari ini benar-benar menguji mental dan fizikal kami,” ujarnya.

Justeru, penganjuran Kem Belia MADANI itu diharap dapat melahirkan barisan kepimpinan Sekretariat Rakan Muda yang lebih proaktif, berintegriti serta berdaya saing, sekali gus mampu menjadi agen perubahan positif di PMU dan komuniti setempat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU