KUCHING: Kemahiran berkomunikasi yang baik perlu disertai nilai integriti bagi memastikan keupayaan mempengaruhi dan meyakinkan orang lain tidak disalahgunakan untuk tujuan yang tidak beretika.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, kebolehan menggunakan bahasa dengan baik merupakan satu kelebihan dalam komunikasi, namun kemahiran itu boleh disalahgunakan sekiranya tidak disertai nilai moral dan tanggungjawab.
“Keadaan itu dapat dilihat melalui kes penipuan yang menyasarkan pelbagai golongan, termasuk individu berpendidikan tinggi dan golongan profesional.

RAKAM KENANGAN… Dr Juanda merakam kenangan bersama peserta Pertandingan Debat Integriti Piala Premier Sarawak 2026 selepas majlis penutupan pertandingan di sebuah hotel, hari ini.
“Pensyarah universiti pun boleh menjadi mangsa penipuan, begitu juga pegawai bank.
Penipu mempunyai kemahiran berbahasa dan berkomunikasi yang baik, tetapi kemahiran itu disalahgunakan untuk melakukan perkara yang tidak berintegriti,” katanya pada majlis penutupan pertandingan itu di sebuah hotel di sini, hari ini.
Dr Juanda berkata, situasi berkenaan menunjukkan keupayaan berkomunikasi bukan sekadar berkaitan cara seseorang menyampaikan maklumat, tetapi turut berkait dengan nilai dan tanggungjawab ketika menggunakan bahasa.
Menurutnya, perkara itu penting untuk difahami mahasiswa yang mempunyai kemahiran berhujah kerana keupayaan menyampaikan idea perlu disertai kemampuan menilai maklumat serta membezakan fakta yang benar dan tidak benar.
“Dalam konteks integriti, kemampuan berfikir secara kritikal amat penting. Kita mahu generasi muda membuat keputusan berdasarkan fakta, prinsip dan kebenaran**, bukan** kepentingan diri atau tekanan pihak lain,” katanya.
Beliau berkata, setiap fakta yang digunakan dalam sesuatu hujah perlu disemak terlebih dahulu bagi memastikan maklumat yang disampaikan tepat dan tidak mengelirukan pihak lain.
Katanya, keberanian untuk bersuara juga penting dalam membentuk generasi muda yang mampu mempertahankan kebenaran, namun keberanian tersebut perlu dipandu ilmu, fakta dan adab.
“Keberanian mesti berasaskan fakta, ilmu dan kebijaksanaan.
Kita perlu bercakap pada tempat dan masa yang sesuai serta sentiasa menjaga adab,” katanya.
Beliau berkata, kekuatan sesuatu hujah pula tidak bergantung kepada kelantangan suara, sebaliknya terletak pada ketepatan fakta, kekuatan alasan dan ketajaman pemikiran.
“Jika ada pendebat yang suaranya perlahan tetapi bahasanya tersusun dan hujahnya berasaskan fakta, penyampaiannya tetap mampu memberi kesan kepada pendengar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu kemahiran komunikasi dan perbahasan dalam kalangan mahasiswa terus diasah supaya dapat membentuk generasi yang bukan sahaja yakin menyampaikan pandangan, malah bertanggungjawab terhadap setiap perkataan dan maklumat yang disampaikan.
Beliau berkata, pendekatan itu penting kerana peserta pertandingan berkenaan berpotensi menjadi pemimpin, golongan profesional, ketua jabatan serta individu yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat pada masa hadapan.
Hadir sama, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Dr Azizul Ismail.

