ARTIKEL

KEMAS perkasakan pendidikan awal kanak-kanak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 37 Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PPPAK) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dari seluruh kawasan parlimen di Sarawak diperkasakan dengan kemahiran kepimpinan yang berkesan.

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man, berkata menerusi Kursus Transformasi Kepimpinan PPPAK Zon Borneo yang berlangsung dari 15 hingga 18 Mac, program ini disifatkan sangat signifikan dan selari dengan objektif yang digariskan.

“Hasrat kita adalah untuk memberi pemahaman yang lebih mendalam tentang dasar serta hala tuju KEMAS dalam memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak.

“Selain itu, kursus ini bertujuan untuk memperkasakan PPPAK dengan kemahiran kepimpinan yang berkesan, meningkatkan keupayaan mereka untuk menginspirasikan perubahan, berinovasi, dan memupuk pemikiran strategik dalam pengurusan organisasi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau menjelaskan bahawa peserta didedahkan dengan teknik penyelesaian masalah secara kreatif, serta pembangunan pemimpin yang berwawasan, berintegriti, dan berdaya saing yang mampu memenuhi aspirasi jabatan.

Mohd Hanafiah berharap kursus ini dapat memberi impak positif kepada semua peserta dalam memperkukuhkan kepimpinan mereka di tempat kerja masing-masing, sekali gus menggalakkan perkembangan sistem pengurusan yang lebih berkesan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di seluruh Zon Borneo.

Kursus yang berlangsung di Dewan Kampus Institut Kemajuan Desa (INFRA) ini dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS Putrajaya dengan kerjasama KEMAS Sarawak.
Bagi PPAK dari Parlimen Bandar Kuching, Sakinah Abas, beliau menyifatkan bahawa walaupun kursus ini dilaksanakan pada bulan Ramadan, ia tidak menghalang peserta untuk menimba ilmu dengan penuh semangat dan mempelajari banyak input baharu.

Sementara itu, PPAK dari Kanowit, Stela Niambang, sebagai peserta paling senior, mengakui bahawa kursus ini sangat bermanfaat.

“Terutama untuk memantapkan kemahiran komunikasi agar lebih efektif dalam menyampaikan arahan dan membina hubungan kerja yang lebih baik dalam kalangan rakan sekerja apabila saya kembali ke tempat tugas,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU