KUCHING: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee menegaskan bahawa kemasukan ke Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSIS) adalah sepenuhnya berasaskan meritokrasi tanpa melibatkan sebarang kuota kaum.
Menurut ADUN Nangka itu, langkah ini bertujuan memastikan akses pendidikan berkualiti tinggi yang inklusif kepada anak-anak Sarawak tanpa mengira latar belakang kaum.
Beliau berkata, semua anak Sarawak boleh memohon untuk ke sekolah ini berlandaskan kepada kriteria utama kemasukan iaitu berdasarkan pencapaian akademik pelajar.
“Para pelajar perlu memperoleh sekurang-kurangnya ‘Band 5’ dalam peperiksaan darjah 6 bagi melayakkan mereka menduduki peperiksaan kemasukan yang dianjurkan oleh Yayasan Sarawak bersama Universiti Swinburne.
“Jika pelajar berjaya dan mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut, mereka layak untuk memasuki sekolah antarabangsa ini. Tiada isu kuota kaum dalam proses ini. Kemasukan adalah sepenuhnya berdasarkan merit. Siapa yang pandai dan berjaya lulus, mereka akan mendapat tempat,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Tamin Christopher Gira Sambang berkenaan YSIS dan jumlah pelajar dibiayai oleh Yayasan Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Annuar menjelaskan bahawa setakat ini dua buah sekolah YSIS telah beroperasi iaitu di Petra Jaya dan di Batu 12 Jalan Kuching Serian, dengan jumlah keseluruhan 403 pelajar.
Jelas beliau, statistik setakat ini menunjukkan bahawa 55.4 peratus pelajar adalah dari golongan B40; 32.3 peratus dari golongan M40 dan 12.3 peratus dari golongan T20.
“Matlamat penubuhan sekolah ini adalah untuk memberi ruang kepada pelajar di luar bandar dan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah. Ini bermaksud, matlamat kita untuk memberi peluang kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah telah tercapai,” jelasnya lagi.
Dari segi pecahan kaum, beliau turut berkongsi bahawa 36.2 peratus pelajar adalah daripada masyarakat Melayu, diikuti oleh masyarakat Bidayuh (19.1 peratus), Iban (18.7 peratus), Cina (12.2 peratus); Orang Ulu (3.7 peratus), Melanau (7 peratus), dan kaum lain (2.2 peratus).
Justeru katanya, jumlah berkenaan (pecahan kaum) melambangkan komposisi etnik di Sarawak.
Selain dua sekolah yang sedia ada, katanya empat lagi sekolah YSIS akan ditubuhkan di Betong, Sibu, Bintulu dan Miri dalam masa terdekat.
Beliau memaklumkan bahawa pelajar-pelajar di sekolah ini akan menduduki peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) yang berlandaskan kurikulum Cambridge ketika mereka berada di tahap ke-11.
“Sekiranya berjaya, dua pelajar akan dipilih dari sekolah ini untuk dihantar ke universiti-universiti terkemuka di peringkat antarabangsa. Peperiksaan IGCSE ini diiktiraf secara global dan melayakkan pelajar memasuki universiti-universiti di seluruh dunia.
“Itulah kelebihan sekolah ini. Bagaimanapun, pelajar juga diberi peluang untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai langkah tambahan atau ‘buffer’ sekiranya mereka memilih untuk melanjutkan pengajian di dalam negara,” ujarnya.
Sehubungan itu, Annuar menyeru semua wakil rakyat untuk memberi tumpuan kepada sekolah-sekolah di kawasan masing-masing bagi memastikan pelajar berpotensi mendapat peluang memasuki sekolah ini.
Menjelas mengenai jumlah pelajar yang dibiayai oleh Yayasan Sarawak untuk Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan juga swasta di seluruh negeri dan juga di luar negara, katanya setakat ini, seramai 40,856 yang dibiayai oleh Yayasan Sarawak.
Daripada jumlah ini jelasnya, 40,599 pelajar berada di dalam negara dan yang ditaja untuk di luar negara adalah seramai 257 orang.


