ARTIKEL

Ahmad Johnie Zawawi

Kematian pelajar akibat renjatan elektrik tidak sepatutnya berlaku – Ahmad Johnie

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DARO: Insiden menyayat hati yang meragut nyawa seorang pelajar akibat renjatan elektrik di sebuah sekolah di sini disifatkan sebagai kejadian yang tidak sepatutnya berlaku kerana sekolah merupakan premis yang seharusnya menjamin keselamatan pelajar serta warga pendidik.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi menegaskan bahawa tindakan segera telah diambil dengan melaksanakan pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem pendawaian elektrik di sekolah berkenaan bagi memastikan keselamatan semua pihak terus terpelihara.

“Saya telah berbincang bersama Pegawai Pendidikan Daerah Daro berhubung langkah susulan yang perlu diambil bagi mengelakkan kejadian serupa berulang pada masa hadapan.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Sarawak Energy Berhad (SESCO) juga telah dimaklumkan dan masing-masing mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata peristiwa itu amat menyedihkan kerana sekolah merupakan tempat yang sepatutnya selamat untuk sesi pembelajaran. Tegasnya, semua sistem pendawaian elektrik di sekolah perlu diperiksa segera bagi memastikan tiada sebarang risiko yang boleh mengancam nyawa.

Sehubungan itu, aspek keselamatan perlu sentiasa menjadi keutamaan pihak pentadbiran sekolah secara konsisten.

“Pemeriksaan berkala terhadap sistem pendawaian elektrik usang serta peralatan pencegahan kebakaran perlu dilaksanakan bagi memastikan tahap keselamatan sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Pihak sekolah boleh mendapatkan bantuan teknikal daripada agensi berkaitan seperti JKR dan SESCO untuk menjalankan pemeriksaan berkala serta kerja-kerja penyelenggaraan yang diperlukan,” katanya.

Dalam masa sama, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut disaran memainkan peranan aktif dalam membantu pihak sekolah memastikan persekitaran pembelajaran sentiasa kondusif dan selamat.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Ahmad Johnie berkata ia mencerminkan realiti isu sekolah daif yang masih membelenggu beberapa kawasan di Sarawak. Jelasnya, isu sekolah daif bukan hanya tertumpu kepada keadaan fizikal bangunan, malah melibatkan kemudahan asas termasuk sistem pendawaian yang sudah terlalu lama.

“Masalah sekolah daif bukan sekadar bangunan rosak atau kekurangan kemudahan pengajaran. Sistem pendawaian elektrik yang lama, tidak diselenggara dan diabaikan juga merupakan ancaman besar kepada keselamatan,” jelasnya lagi.

Tambahnya, isu sekolah daif sering dibangkitkan di Dewan Rakyat sebagai usaha mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan lebih proaktif demi keselamatan serta akses pendidikan yang adil kepada semua pelajar.

Beliau turut memaklumkan bahawa perkara itu akan dibawa kepada perhatian Menteri Pendidikan bagi memastikan pemantauan sistem pendawaian elektrik usang dilaksanakan di semua sekolah, khususnya di kawasan pedalaman.

“Pemantauan wajib perlu dibuat terhadap sistem pendawaian elektrik di semua sekolah, terutama di kawasan pedalaman supaya kejadian tidak diingini seperti ini dapat dielakkan. Jangan sampai sudah terhantuk baru tengadah,” tambahnya.

Beliau turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian pelajar terbabit dan mendoakan agar mangsa ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU