ARTIKEL

Kembali muda kerana irama rock

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MINGGU lalu, saya berkesempatan untuk menghadiri konsert Fenomena Samurai Search XPDC di Stadium Perpaduan, Kuching.

Tidak sesak, sekitar tiga ribu orang hadir ke konsert tersebut. Menariknya, kebanyakan yang hadir adalah golongan seusia saya atau lebih dewasa.

Ada yang berusia 60 dan 70-an.

Tidak kurang yang berjanggut dan hadir menggunakan jubah.

Ternyata muzik ini hiburan zaman dan menggambarkan zaman.

Ramai dalam kalangan yang hadir adalah mereka yang berjaya dalam bidang masing-masing — baik sebagai usahawan, penjawat awam dan tidak kurang ahli politik.

Tidak menghairankan kerana yang berkinja di atas pentas adalah artis warga emas juga.

Cuma nilai dan nafas rocknya, tidak kurang.

Malah bagi Ali XPDC, di sebalik kesukarannya menyanyi sempat melontarkan dakwah.

Ternyata irama yang dilaungkan ini membawa kami kembali muda 30 ke 40 tahun.

Sedikit ralat sebenarnya, kerana ramai dalam kalangan kenalan dan rakan seusia, yang turut meminati irama ini sudah tidak wujud lagi.

Magis irama rock malam itu membawa kami hilang tua seketika, walau tenaga tidak segalak waktu remaja. Ya. Rock adalah irama sewaktu saya membesar.

Search, Wings, XPDC, Iklim, Spring adalah antara nama besar yang didambakan. Seronok melihat mereka yang berambut panjang.

Melepak di tepi jalan sambil memetik gitar mendayukan Isabella, Istana Menanti, Bujang Senang hingga Semangat Yang Hilang dan Suci Dalam Debu. Ini antara irama yang dihafal dan memberi semangat pada waktu itu.

Ada yang disifatkan romantis, lantas diputar nyaring ketika di dalam kereta. Ingat lagi bapa penulis pernah menegur, “ lagu apa seperti itu.

Seolah tidak ada hala tuju.”

Namun inilah halwa telinga ketika menemani waktu belajar, mahupun menghiburkan waktu tertekan.

Kerana itu apabila Mamat Khalid tampil dengan Rock Ooo , ia begitu menyeronokkan, kerana membawa kami meneroka kenangan silam.

Nama Amy Mat Piah sinonim dengan Amy Search, serta sewaktu kumpulan Rimba Bara berendam di kolam, menyamai karektor Wings.

Untung kerana bertugas sebagai pengamal media, dapat bertemu dengan kebanyakan artis ini pada era kemuncak mereka.

Ketika konsert inilah juga, saya bertemu dengan rakan-rakan lama dan ia mengimbau saat-saat muda. Kami bercerita tentang kedai yang berjualan barangan rock di Lorong Cathay.

Itu adalah antara tumpuan remaja era saya untuk mendapatkan t-shirt dan tali pinggang terkini, dengan buckle yang luar biasa.

Juga ada yang lepak di Kuching Plaza sambil bermain snuker.

Bagi remaja yang baru meningkat usia, menikmati hidangan segera Captain Morgan dan Frosty Boy di Hopoh adalah satu kehebatan sambil mengorat gadis-gadis remaja.

Semua nostalgia ini menjadi bualan kami waktu itu.

Juga mengingatkan betapa Sarawak cepat berubah, dari negeri yang agak ketinggalan, kepada yang ada hari ini.

Terima kasih Kerajaan Sarawak, terutamanya Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Budaya kerana meluluskan hiburan seperti konsert ini.

Rock pada hari ini adalah untuk golongan veteran dan warga emas, seperti juga Pop Yeh Yeh suatu ketika. Ia hiburan langka namun memberi butiran kenangan untuk dinikmati.

Biar busananya t-shirt hitam dan jeans, namun tidak bermakna peminatnya berhati hitam.

Seperti yang ditulis awal tadi, kebanyakan peminat muzik ini adalah kalangan yang berjaya hari ini.

Dan tafsir sebelumnya bahawa rock sinonim dengan dadah dan arak sudah ketinggalan zaman.

Penulis fahami ia bukan selera untuk generasi baharu.

Kerana generasi hari ini memang tidak meminati artis-artis yang veteran, kecuali yang dianggap legenda.

Beberapa tahun lalu, penulis pernah memberi ruang kepada kalangan wartawan muda untuk membuat liputan konsert Wings, yang harga tiketnya tidak kurang lumayan.

Namun tidak seorang pun peduli dan menyatakan minat.

Ini membayangkan betapa cepat waktu berubah.

Semoga acara seperti ini terus digiatkan pada masa depan, kerana generasi seperti kami tidak mampu untuk melayan lagu-lagu moden seperti APT.

Irama rock sekurang-kurangnya membangkitkan “kejantanan” dan tidak terlalu lentok dengan lagu mendayu, bagi kami.

Bagi rakan-rakan yang lebih sedikit seleranya, akan memasuki irama lebih keras seperti metal.

Dengar-dengar tahun 2026, legenda Scorpion akan hadir. Ia saat yang penulis percaya, ramai nantikan.

Kasi jadi!

BERITA LAIN

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road