KUCHING: Kementerian Pengangkutan kini menjadi sebahagian daripada Jawatankuasa Teknikal Kajian Kebolehlaksanaan Kereta Api Trans Borneo.
Menterinya, Datuk Seri Lee Kim Shin, berkata kementeriannya telah membuat tender kajian kebolehlaksanaan tersebut pada Mac 2024 dan kini dalam proses penilaian tender.
“Skop kajian kebolehlaksanaan adalah untuk menilai faktor seperti pilihan laluan dan stesen, anggaran kos, pembangunan mampan, kesan alam sekitar dan potensi manfaat sosioekonomi kepada Sarawak, Sabah, Kalimantan dan Brunei,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Pada awal tahun ini, sebuah syarikat berpangkalan di Brunei telah mengumumkan projek rangkaian kereta api laju ‘Trans Borneo Railway’ di mana ia akan menjadi rangkaian kereta api berkelajuan tinggi pertama di Borneo untuk memendekkan jarak perjalanan antara Kalimantan, Sarawak, Sabah dan Brunei.
Mengenai perkara lain, Kim Shin juga mengumumkan bahawa kementeriannya kini pada peringkat akhir rundingan untuk mengambil alih Marina Awam Kuching.
“Pemerolehan itu dijangka dimuktamadkan pada akhir tahun ini,” katanya.


