SERIAN: Kementerian Pertahanan terus memperkukuh komitmen terhadap kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menyantuni seramai 16 veteran menerusi Program Peduli Veteran MADANI (PVM) 2026 di Bahagian Serian dan Kota Samarahan.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, program tersebut merupakan antara inisiatif utama kementerian melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) bagi memastikan kesejahteraan golongan veteran terus terpelihara.

“Daripada jumlah itu, enam veteran disantuni pada hari pertama (3 April) di sekitar Daerah Balai Ringin dan Simunjan melibatkan golongan asnaf, pesakit kronik, balu serta ahli keluarga Orang Kurang Upaya (OKU).
“Baki 10 lagi veteran akan disantuni di Daerah Asajaya dan Sebuyau pada hari berikutnya (4 April) sebagai sebahagian daripada siri jelajah berterusan bagi mendekati serta menghargai jasa mereka kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media semasa lawatan kerja menyantuni veteran tentera di kediaman salah seorang veteran di Kampung Ensebang Plaie di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki.
Beliau menambah, pelaksanaan program itu bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan malah bagi menilai sendiri keberkesanan inisiatif serta insentif yang disediakan kerajaan kepada veteran ATM.
Adly turut menegaskan bahawa kerajaan memperuntukkan lebih RM300 juta tahun ini melalui JHEV ATM dengan sebahagian besar disalurkan bagi kebajikan veteran termasuk bantuan sara hidup dan kemudahan kesihatan.
“Program seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan veteran sentiasa terpelihara di samping meningkatkan sosioekonomi mereka khususnya bagi yang baru menamatkan perkhidmatan,” ujarnya.
Antara bantuan yang disalurkan termasuk peralatan perubatan, bantuan baik pulih rumah, Bakul Rahmah serta penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka.
Sebanyak 500 Bakul Rahmah turut diagihkan kepada Persatuan Veteran ATM cawangan Sarawak bagi membantu meringankan beban golongan berkenaan.
Dalam lawatan tersebut Adly menyantuni seorang veteran berusia 93 tahun Bulit Jimbun yang merupakan bekas anggota Sarawak Rangers yang telah berkhidmat sejak 1957 sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1969.


