Kempen Cegah Denggi untuk bina kesedaran

BINTULU: Golongan pelajar, guru- guru dan ibu bapa serta masyarakat amnya harus mengamalkan setiap tindakan yang diperlukan melalui Kempen Cegah Denggi

Dalam konteks itu, Pegawai Pendididkan Daerah Bintulu ( PPD ) Fred Entau menuntut komitmen semua pihak bagi menjayakan misi banteras nyamuk aedes.

Masyarakat, katanya, sanggup berbelanja besar bagi mengelakkan ancaman keselamatan dan harta benda.

Namun, mereka mengabaikan faktor yang membawa kepada pembiakan nyamuk aedes di persekitaran tempat tinggal mereka.

“Fokus kita tentang bagaimana menyelamatkan harta benda kita dilarikan orang tetapi kita lupa seekor nyamuk yg kecil itu tak sampai satu milimeter, itu yang memberi ancaman nyawa kepada kita.

Ini yang kita abaikan, ujarnya semasa berucap merasmikan Karnival Cegah Denggi anjuran Sekolah Kebangsaan ( SK ) Tanjung Batu, Bintulu bertempat di Commerce Square, semalam.

Menurut Fred lagi, telur nyamuk aedes mampu bertahan sehingga tempoh enam bulan di tempat yang kering dan boleh menetas sekiranya terdapat setitis air di tempat telur nyamuk itu berada.

Oleh itu, katanya, kesedaran harus ditanam dikalangan masyarakat tentang usaha membersihkan persekitaran agar bebas ancaman nyamuk aedes sebagai pembunuh senyap.

SK Tanjung Batu yang terpilih ke peringkat kebangsaan dalam program Dengue Patrol menjalankan beberapa aktiviti utama bagi memupuk kesedaran di kalangan pelajar dan orang ramai.

Pada program tersebut dijalankan pertandingan melukis poster dan mewarna gambar Cegah Denggi yang melibatkan tujuh buah sekolah rendah di Bintulu.

Turut diadakan pameran dan persembahan melibatkan pelajar – pelajar SK Tanjung Batu dan Kelab Doktor Muda sekolah tersebut.

Pada 24 Ogos bertempat di Paragon Bintulu pula akan diadakan Dengue Run yang dibuka penyertaannya kepada orang ramai.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman facebook “ Dengue Patrol SK Tanjung Batu Bintulu ”.