KUCHING: Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Krismas Tahun 2024 dilaksanakan bertujuan memastikan operasi perkhidmatan bas dijalankan dengan selamat dan penuh etika.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata pelaksanaan kempen tersebut bagi memastikan bas-bas yang berulang-alik di seluruh Sarawak berada dalam keadaan selamat.

“Kita akan lihat keadaan bas, periksa tayar, brek, sistem dan semua yang perlu agar kenderaan selamat digunakan sebelum bertolak ke destinasi yang dituju.
“Pada masa sama, kita juga akan buat ujian terhadap pemandu itu sendiri.
“Sekiranya ada mengambil sebarang ubat terlarang, selain memastikan pemandu tidak berada dalam keadaan yang mengantuk.
“Pemandu dibenarkan untuk memandu sekiranya semua ujian sudah dijalankan.
“Slip (sijil) kelulusan akan dikeluarkan kepada pemandu yang sudah lulus ujian.
“Pemandu yang tidak lulus tidak boleh memandu, dan bas tidak dibenarkan bergerak,” katanya.
Hasbi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya
sempena Musim Perayaan Hari Krismas 2024 di Terminal Bas Kuching Sentral di sini pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa bas yang terlibat dalam perjalanan jarak jauh wajib mempunyai dua pemandu supaya dapat berganti-ganti sepanjang perjalanan.
“Sekiranya tiada pemandu kedua, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada pemandu supaya tidak bermain telefon bimbit ketika memandu dan tidak berada dalam keadaan yang boleh membahayakan penumpang.
“Mungkin ada pegawai yang akan ditugaskan untuk menyamar bagi memantau pemandu bas sepanjang perjalanan.
“Jadi, jangan ambil ringan ketika memandu bas masing-masing.
“Jika didapati ada yang melanggar arahan ini, bas akan diberhentikan dan pemandu bas serta syarikat terlibat akan dikenakan tindakan dan dipertanggungjawabkan.
“Kalau nak meneruskan perjalanan, mereka kena tukar pemandu baharu,” katanya.
“Ini usaha kita untuk memastikan keselamatan orang ramai balik ke kampung, bukan sahaja untuk Krismas, tetapi juga perayaan-perayaan lain,” katanya.


