Kemudahan asas untuk penduduk di enam rumah panjang Ulu Roban

ROBAN: Enam rumah panjang yang belum menikmati kemudahan asas akan menikmati sambungan air bersih setelah Projek Penyambungan Bekalan Air Terawat ke kawasan Ulu Roban diluluskan pada Januari lalu.

Ahli Parlimen Saratok Datuk Ali Biju memberitahu, peruntukan RM14.3 juta diluluskan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Projek tersebut melibatkan kerja-kerja pemasangan paip pelbagai saiz sepanjang 14 kilometer, kolam takungan, stesen penggalak termasuk kerja-kerja lain berkaitan.

“Saya difahamkan projek ini sedang dalam proses pelantikan konsultan dan dijangka akan ditender pada suku pertama 2022,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Jelasnya, projek ini dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Sementara Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) akan bertindak sebagai agensi pelaksana.

Suara Sarawak