SPAOH: Pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi diseru memainkan peranan lebih proaktif mengenal pasti individu yang layak menerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) tetapi masih tercicir daripada senarai bantuan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerjasama ketua masyarakat dan ketua kaum amat penting bagi memastikan tiada golongan yang benar-benar memerlukan terpinggir daripada menerima manfaat tersebut.
Menurut beliau, kerajaan kekal komited untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara melalui pelbagai inisiatif bantuan, khususnya dalam mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup ketika ini.
“SKAS merupakan antara usaha berterusan kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat, terutama apabila harga barangan keperluan semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran SKAS 2026 Peringkat Bahagian Betong yang berlangsung di Dewan Masyarakat Spaoh, di sini hari ini.
Pelaksanaan bantuan itu dibuat secara digital menerusi aplikasi SPay Global bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembelian barangan asas seperti makanan.
Dalam masa sama, kaedah berkenaan turut menyokong usaha kerajaan Sarawak ke arah pembudayaan transaksi tanpa tunai serta merancakkan ekonomi setempat melalui perbelanjaan di premis berdaftar.
Bagi tahun ini, seramai 857,814 rakyat Sarawak dikenal pasti layak menerima SKAS, termasuk lebih 50,000 penerima di Bahagian Betong.
Kerajaan Sarawak turut menambah baik jumlah bantuan dengan isi rumah menerima RM950, warga emas sebanyak RM500, manakala golongan bujang diperuntukkan RM300.
Bantuan tersebut akan diagihkan secara berperingkat dalam tiga fasa iaitu pada Mac, Mei dan November bagi memastikan sokongan kewangan dapat dinikmati rakyat sepanjang tahun.

